SERDANG, 15 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi contoh apabila menerima kunjungan delegasi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bagi satu sesi lawatan penanda aras.
Lawatan kerja tersebut melibatkan pegawai-pegawai daripada Bahagian Pentadbiran dan Sekretariat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM Shah Alam. Kehadiran delegasi pelawat telah disambut baik oleh Bahagian Governan dan Integriti (BGI) bersama Seksyen Pentadbiran dan Kewangan (SPKw), Pejabat Pendaftar UPM. Sesi pertemuan telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Lembaga, Bangunan Canselori Putra.

Delegasi UiTM yang diketuai oleh Ketua Bahagian Pentadbiran dan Sekretariat LPU UiTM, Cik Adlin Na’qiah binti Sabar @ Sabal, telah tiba di pekarangan Bangunan Canselori Putra pada jam 9:00 pagi. Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan pembentangan pengenalan oleh Ketua BGI UPM, Encik Azizi bin Ismail.
Antara pengisian utama dalam sesi pembentangan tersebut termasuklah perkongsian mengenai pengurusan dan tadbir urus LPU, serta strategi pengukuhan jawatankuasa-jawatankuasa di bawah LPU yang dilaksanakan di UPM.
Selain itu, Ketua SPKw, Puan Nor Azila binti Azmi, turut mengambil peluang berkongsi amalan terbaik mengenai sistem pengurusan kualiti yang dipraktikkan di Pejabat Pendaftar UPM.

Sesi kemudiannya diteruskan dengan perbincangan dua hala yang interaktif. Melalui platform ini, kedua-dua belah pihak saling bertukar pandangan, idea, dan pengalaman demi memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan di institusi masing-masing.
Lawatan penanda aras seumpama ini diharapkan dapat membuka ruang kolaborasi yang lebih erat pada masa hadapan, sekali gus memacu kecemerlangan tadbir urus korporat universiti awam di Malaysia.
Date of Input: 20/05/2026 | Updated: 20/05/2026 | mohd.hasrul

Chancellery Putra Building,
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan