SERDANG, 15 Jun – Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan Pameran Psikoterapi sempena Majlis Peluncuran Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.
Pameran yang dikendalikan oleh Seksyen Perkhidmatan Intervensi itu menampilkan pelbagai pendekatan psikoterapi yang interaktif dan mesra pengunjung seperti Colour Analysis, Art Therapy dan Puppet Therapy. Program ini bertujuan memberi pendedahan, demonstrasi serta konsultansi kepada warga universiti berkaitan kaedah psikoterapi yang boleh dimanfaatkan dalam pengurusan emosi dan kesihatan mental.

Pegawai Psikologi Kanan, Puan Siti Fatimah Abdul Ghani, bertindak sebagai pempamer utama dengan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mengenai penggunaan elemen psikoterapi sebagai medium sokongan psikologi yang berkesan. Pengunjung berpeluang mendapatkan penerangan secara langsung serta menyertai aktiviti yang membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesejahteraan emosi dalam kehidupan seharian.
Menurut penganjur, pendekatan yang diketengahkan melalui pameran ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada pengunjung, malah membantu mereka memahami kaedah pengurusan emosi secara kreatif dan santai. Sambutan yang diterima menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan warga UPM terhadap usaha memperkukuh kesejahteraan mental dan emosi.
Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung sepanjang 1 hingga 30 Jun 2026 merupakan satu inisiatif strategik yang menghimpunkan seluruh warga universiti bagi memperkukuh budaya kolaborasi, kesejahteraan dan kecemerlangan secara menyeluruh. Dengan tema “Dari Kampus ke Impak Nasional dan Global: Sinergi untuk Masa Hadapan Mampan”, program ini menjadi platform penting dalam memperkasakan peranan universiti sebagai pusat ilmu, pemangkin kesejahteraan masyarakat dan peneraju pembangunan masa hadapan yang lestari.

Selaras dengan aspirasi tersebut, Fokus 4: Kesejahteraan Warga diketengahkan sebagai antara tunjang utama dalam memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, pembangunan kerjaya serta kesejahteraan emosi, mental dan sosial warga kampus. Pendekatan ini dilihat semakin relevan dalam menghadapi cabaran dunia moden yang memerlukan warga organisasi yang produktif, resilien dan berdaya saing.
Penganjuran Pameran Psikoterapi ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam mempromosikan budaya kesejahteraan mental dan emosi yang positif, sekali gus menyokong matlamat universiti untuk melahirkan komuniti kampus yang seimbang, sihat
Date of Input: 19/06/2026 | Updated: 17/07/2026 | mohd.hasrul

Chancellery Putra Building,
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan