SERDANG, 26 Jun 2026 – Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda kesejahteraan warga menerusi penganjuran Program X-plorace PUTRA Thrive 2026, sebuah program yang menghimpunkan 105 peserta daripada 21 pasukan mewakili pelbagai kelab di pusat tanggungjawab (PTJ) sekitar kampus UPM.
Perasmian program yang berlangsung seawal jam 8:30 pagi itu telah disempurnakan oleh Encik Muhazam Mansor, Pendaftar UPM.

Aktiviti X-plorace yang berakhir sekitar jam 11:00 pagi berjaya mencetuskan suasana yang meriah apabila para peserta berganding bahu menyelesaikan pelbagai cabaran yang menguji kerjasama berpasukan, komunikasi, kepemimpinan dan kreativiti.
Pengisian program diteruskan dengan Sesi Motivasi yang disampaikan oleh Encik Logavenosh a/l Ragawan, Pegawai Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah.
Perkongsian beliau memberi penekanan terhadap kepentingan menjaga kesejahteraan mental, membina daya tahan diri (resilience) serta mengukuhkan keseimbangan emosi dalam mendepani cabaran kehidupan dan alam pekerjaan yang semakin dinamik.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta yang telah disempurnakan oleh Cik Siti Ima Munirah Ahmad, Ketua Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar.
Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Bulan Sinergi Putra 2026, yang berlangsung sepanjang Jun dengan tema “Dari Kampus ke Impak Nasional dan Global: Sinergi untuk Masa Hadapan Mampan.”
Inisiatif ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh budaya kolaborasi, kesejahteraan dan kecemerlangan dalam kalangan seluruh warga universiti.

Selaras dengan Fokus 4: Kesejahteraan Warga, Program X-plorace PUTRA Thrive 2026 memberi penekanan kepada usaha membentuk komuniti kampus yang sihat, produktif, resilien dan saling menyokong.
Melalui aktiviti yang berorientasikan kerjasama dan sokongan sosial, program ini berjaya memperkukuh hubungan antara warga universiti di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental, emosi, sosial dan fizikal.
Selain menyokong agenda pembangunan kampus mampan, program ini turut berperanan sebagai medium intervensi awal dalam meningkatkan literasi kesejahteraan psikologi, menggalakkan budaya kerja yang positif serta memperkukuh identiti UPM sebagai sebuah institusi yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan warganya.
Program X-plorace PUTRA Thrive 2026 membuktikan bahawa semangat sinergi, kerjasama dan kesejahteraan merupakan asas penting dalam melahirkan warga universiti yang cemerlang, berdaya tahan serta bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat di peringkat nasional dan global.
Penyampaian hadiah kepada lima pasukan yang berjaya menamatkan cabaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc, Naib Canselor UPM pada 30 Jun 2026 sempena Majlis Penutupan Sambutan Bulan Sinergi Putra.
Tahniah diucapkan kepada lima pasukan yang berjaya iaiatu mewakili Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset, Pusat Kesihatan Universiti, Bahagian Audit Dalam, Pejabat Pendaftar dan Pejabat Bursar.
Disediakan oleh:
Siti Fatimah Abdul Ghani K.B.,P.A
Date of Input: 17/07/2026 | Updated: 17/07/2026 | mohd.hasrul

Chancellery Putra Building,
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan