Program Iftar Perdana Komuniti Kuarters Universiti Putra Malaysia | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Program Iftar Perdana Komuniti Kuarters Universiti Putra Malaysia

Program Iftar Perdana Komuniti Kuarters Universiti Putra Malaysia

Serdang, 15 April – Ramadan, bulan anugerah daripada Allah yang menjanjikan pahala dan ganjaran yang berlipat ganda kepada seluruh umatnya. 

Setiap detik pada bulan Ramadan ini sangat bernilai kerana segala perbuatan dan amalan baik akan dilipatgandakan pahala jika dilakukan dengan penuh ikhlas. 

Justeru, Seksyen Perubatan dan Perhubungan Pekerja, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar telah mengambil inisiatif menganjurkan Program Iftar Perdana Komuniti Kuarters Universiti Putra Malaysia untuk menggalakkan warga kuarters menghayati keistimewaan bulan Ramadan. 

Penganjuran Program Iftar Perdana Komuniti Kuarters Universiti Putra Malaysia ini juga merupakan salah satu wadah untuk menyatukan dan meningkatkan kerjasama antara ahli keluarga, jiran, masyarakat dan semua warga kuarters. 

Aktiviti yang dijalankan semasa program ini dirancang sebagai platform untuk menyemarakkan semangat setiakawan dan muhibah dalam kalangan warga kuarters.

Program yang julung kali diadakan ini merupakan salah satu cadangan yang dipersetujui semasa Program Sederap Berpasukan Komuniti Kuarters yang berlangsung pada Februari lalu di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Puchong. 

Tentatif program bermula dari jam 5.45 petang hingga 10.00 malam di Surau Kuarters Ladang 1. 

Hampir 700 orang menghadiri program iftar ini yang terdiri daripada penghuni kuarters, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, tetamu jemputan dan urus setia program. 

Menu iftar disediakan secara gotong-royong oleh urus setia, penghuni kuarters serta beberapa pelajar daripada Kolej 14. 

Program dimulakan dengan ucapan daripada Wakil Ketua Penduduk Kuarters, iaitu Encik Mohd Hafiz Ghazali manakala ucap utama oleh YBrs. Encik Muhazam Mansor, Pendaftar Universiti Putra Malaysia selaku Penaung program tersebut. 

Pelbagai pengisian aktiviti dilaksanakan sepanjang program iftar ini, antaranya solat magrib, solat isyak dan seterusnya solat tarawih serta moreh di surau kuarters. 

Selain itu, terdapat juga penyerahan sumbangan pakaian daripada Pusat Perhubungan Alumni, sumbangan bakul buah-buahan daripada Sahabat Masjid UPM kepada penghuni kuarters dalam kategori asnaf dan sumbangan infak Ramadan berupa seekor ayam mentah daripada Pertubuhan Kebajikan Salak kepada setiap keluarga penghuni kuarters yang hadir. 

Dalam program tersebut juga, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) turut serta memberikan sumbangan dalam menjayakan majlis iftar ini.

Disediakan oleh: Mohd Muzairy Musa

Date of Input: 17/04/2023 | Updated: 17/04/2023 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEaNAa~