Pejabat Pendaftar Komited Laksana Amalan EKSA | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Pejabat Pendaftar Komited Laksana Amalan EKSA

Pejabat Pendaftar Komited Laksana Amalan EKSA

SERDANG, 21 Jun – Jawatankuasa Latihan EKSA, Pejabat Pendaftar telah mengadakan Majlis Pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat Pendaftar melalui pautan Zoom pada 21 Jun 2021 dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Majlis yang dihadiri oleh semua staf Pejabat Pendaftar ini  dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Puan Suhana Md Chairi, Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa EKSA Pejabat Pendaftar.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Pejabat Pendaftar telah berjaya mencapai hasrat untuk mengadakan majlis pelancaran EKSA walaupun dalam tempoh PKP 3.0.

Katanya lagi, pihak Universiti telah menetapkan keperluan untuk peralihan daripada Amalan 5S kepada EKSA di seluruh UPM pada tahun 2021.

Sehubungan itu, Pejabat Pendaftar telah memberikan maklum balas kepada Pusat Jaminan Kualiti (CQA) untuk bertukar kepada Amalan EKSA dan melantik ahli jawatankuasa yang berkaitan.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Penyelaras EKSA, Encik Johar Md Lajis yang juga merupakan Ketua Seksyen Pentadbiran dan Kewangan serta ahli jawatankuasa atas inisiatif dan komitmen untuk merealisasikan majlis tersebut.

Pihak jawatankuasa telah merancang beberapa aktiviti yang akan dilaksanakan termasuklah penamaan bagi setiap zon di Pejabat Pendaftar.

“Saya menyeru kepada semua staf untuk kita sama-sama memberikan sokongan dan menggembleng tenaga dalam menjayakan amalan EKSA yang bukan sahaja memberi manfaat kepada Pejabat Pendaftar, malah seterusnya dapat bertanding dalam pertandingan EKSA di peringkat universiti,” katanya di akhir ucapan. 

Majlis diteruskan dengan ucap utama dan majlis pelancaran oleh YBrs. Encik Muhazam Mansor, Pendaftar, Universiti Putra Malaysia.

Beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Encik Johar dan ahli jawatankuasa yang terlibat menjayakan majlis pelancaran.

Dalam ucapannya beliau memaklumkan nama yang telah dipilih bagi setiap zon iaitu Zon Jabir Ibn Hayyan (Bahagian Pembangunan Sumber Manusia – HRD), Zon Umar al-Khattab (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia – HRM) , Zon Ibn Khaldun (Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia - HRS), Zon Abu Bakar as-Siddiq (Seksyen Pentadbiran dan Kewangan), dan Zon Al-Mawardi (Unit Pos).

Beliau turut menarik perhatian staf Pejabat Pendaftar untuk bersama-sama melibatkan diri dalam aktiviti di peringkat universiti yang akan memberi manfaat kepada mereka dan juga organisasi.

Konsep EKSA adalah penambahbaikan kepada amalan 5S yang telah dilaksanakan sebelum ini dengan tambahan beberapa elemen baharu. Pelaksanaan sepenuhnya Amalan EKSA di UPM adalah pada September dan Oktober 2021. 

“Berdasarkan kejayaan beberapa PTJ dalam pelaksanaan 5S dan EKSA, mereka menyatakan bahawa perlu ada kesabaran, keupayaan yang jelas, semangat yang tinggi serta berfikiran terbuka terhadap transformasi ke arah perubahan yang memberi impak positif dalam organisasi”, katanya lagi.

Seterusnya beliau menyatakan bahawa pentingnya kerjasama yang baik dalam semangat kerja berpasukan dan mempunyai pengetahuan. Staf disaran untuk melengkapkan diri dengan ilmu serta mencari kaedah yang terbaik bagi memastikan pelaksanaan amalan tersebut berjalan dengan lancar dan berkesan.

Selain itu, kreativiti juga adalah penting dan setiap staf memiliki bakat dan kebolehan yang tersendiri dalam pelbagai aspek. Organisasi perlu percaya, yakin dan meraikan bakat staf mereka yang akan memberi nilai tambah dan manfaat kepada organisasi. 

Tambah beliau lagi, staf perlulah saling mengambil berat, sentiasa memberi dan menerima serta berkongsi kebersamaan sama ada pada waktu senang atau sukar kerana ia akan dapat meningkatkan kualiti imej. 

Majlis diserikan dengan tayangan montaj sebagai simbolik kepada pelancaran EKSA Pejabat Pendaftar. 

Program diteruskan dengan penyampaian taklimat oleh penceramah jemputan, Puan Shamriza Shari, Ketua Seksyen Dokumentasi, Pusat Jaminan Kualiti, UPM yang bertajuk “Kesedaran dan Pemantapan Peralihan Amalan 5S kepada EKSA”.

 

Disediakan oleh: Nor Azila Azmi

Date of Input: 30/06/2021 | Updated: 05/07/2021 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXDTSAI~