Pejabat Pendaftar Jalani Audit SIRIM QMS Dan ISMS | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Pejabat Pendaftar jalani Audit SIRIM QMS dan ISMS

Pejabat Pendaftar jalani Audit SIRIM QMS dan ISMS

SERDANG, 13 Disember – Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalani Audit Pensijilan Semula SIRIM Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2013 oleh pihak SIRIM pada 13, 16 dan 17 Disember 2021. 

Audit selama 3 hari ini diadakan buat kali kedua secara ‘remote audit’ (audit tidak bersemuka) selepas Audit SIRIM pada tahun lalu berikutan kebimbangan terhadap penularan kes COVID-19 yang masih tinggi di negara ini.

Mesyuarat Pembukaan Audit SIRIM QMS dan ISMS oleh Pusat Jaminan Kualiti UPM telah diadakan pada 13 Disember 2021 jam 9.30 pagi melalui platform Zoom yang disertai oleh barisan juruaudit SIRIM dan wakil daripada pusat tanggungjawab di UPM. 

Sesi audit ISMS pada 13 Disember 2021 dikendalikan oleh Puan Nur Eliana binti Abdul Razak manakala Tuan Haji Mohamad Abdul Kadir bin Johari sebagai juruaudit QMS pada 16 dan 17 Disember 2021.

Perincian skop audit ISMS yang merujuk pada dokumen Penyata Pemakaian (Statement of Applicability - SoA) meliputi pengurusan latihan, saringan keselamatan ke atas pelantikan dan penamatan staf serta klasifikasi maklumat. 

Manakala perincian skop audit QMS pula adalah berdasarkan dokumen skop Sistem Pengurusan Kualiti dan Pihak Berkepentingan merangkumi proses kerja di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia serta Bahagian Governan dan Integriti.

Dapatan hasil kedua-dua audit tersebut merekodkan tiada laporan penemuan daripada juruaudit SIRIM. Proses pengauditan kali ini berjalan dengan lancar hasil kerjasama dan komitmen daripada semua warga Pejabat Pendaftar yang sentiasa memberi keutamaan dalam pengurusan kualiti dan keselamatan maklumat.

Laporan keseluruhan audit bagi UPM telah dibentangkan oleh Ketua Pasukan Audit SIRIM QMS dan ISMS, Cik Hajah Hanida binti Ghazali semasa Mesyuarat Penutupan Audit SIRIM pada 17 Disember 2021 pukul 4.00 petang.   

Disediakan oleh: Nor Azila Azmi

Date of Input: 27/12/2021 | Updated: 27/12/2021 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXETTAt~