Pupuk Budaya Integriti Hindari Rasuah | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Pupuk budaya integriti hindari rasuah

Pupuk budaya integriti hindari rasuah

“If a corruption is a disease, transparency is essential part of its treatment”

 (Kofi Annan) 

Dalam meniti arus modenisasi masa kini, gejala rasuah di negara kita berada pada skala yang cukup membimbangkan. Saban hari berita tentang rasuah, penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa sering kali terpampang di media massa. Gejala ini yang juga turut dipanggil ‘makan suap’, ‘duit kopi’ atau ‘tumbuk rusuk’ boleh diibaratkan seperti virus berbahaya yang pantas merebak dalam atmosfera masyarakat kita. 

Rasuah merujuk portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merupakan penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Bentuk suapan merangkumi wang, hadiah, bonus, upah, diskaun, jawatan, undi dan perkhidmatan.

Menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), jenis rasuah terdiri daripada perbuatan meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi suapan, mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk mendapatkan suapan pegawai badan awam. 

Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI – Corruption Perception Index) 2021, iaitu laporan kajian yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), kedudukan Malaysia terus merudum ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-57 pada 2020. Indeks ini tertumpu kepada persepsi responden berikutan pengalaman mereka dalam berurusan dengan sektor awam sebuah negara. 

Skor CPI Malaysia ialah 48 poin berbanding 51 pada 2020. Berdasarkan skor CPI, lebih tinggi skor direkodkan, lebih bersih sesebuah negara daripada rasuah, manakala lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku. Sepuluh negara yang menduduki kedudukan teratas dalam CPI ialah Denmark dengan skor 88, Finland (88), New Zealand (88), Norway (85), Singapura (85) dan Sweden (85), Switzerland (84), Belanda (82), Luxembourg (81) dan Jerman (80), manakala tiga negara tercorot ialah Sudan Selatan (11), Syria (13) dan Somalia (13).

 Terdapat pelbagai faktor yang mencetuskan gejala tidak bermoral ini, antaranya termasuklah sikap tamak untuk memperoleh kemewahan atau kesenangan hidup dengan cara yang mudah dan cepat,  desakan akibat kos sara hidup yang sangat tinggi, tekanan di tempat kerja dan amalan gaya hidup di luar kemampuan diri. Selain itu, faktor lain ialah wujud ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan rasuah disebabkan kelemahan kepemimpinan dalam organisasi, tahap integriti yang rendah serta sikap tidak ambil peduli masyarakat.

Mereka yang diberi jawatan dan kuasa tidak sewajarnya menyalahgunakan amanah yang dipertanggungjawabkan untuk kepentingan peribadi, bak kata pepatah “Harapkan pegar, pegar makan padi”. Baik sebagai ketua mahupun pekerja dalam sesebuah organisasi hatta pemimpin negara harus melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif. 

Sekalipun kita diuji dengan kemewahan, pangkat dan kuasa, kita harus berpegang teguh kepada etika kerja yang digariskan dalam melaksanakan tugas. Harus diingat bahawa setiap perbuatan tidak bermoral atau kesalahan yang dilakukan lambat-laun pasti akan menerima akibatnya, bak kata pepatah “Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”. 

Rasuah, penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa boleh menatijahkan pelbagai impak negatif bukan sahaja kepada individu yang terlibat malahan kepada organisasi, masyarakat, dan negara. 

Reputasi individu yang menerima rasuah akan tercemar dan ahli keluarganya juga turut dipandang serong dan dipulaukan oleh masyarakat, ibarat peribahasa “seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit”. Imej jabatan atau organisasi yang terlibat dengan gejala rasuah akan tercalar dan menyebabkan masyarakat hilang rasa hormat atau percaya kepada kualiti perkhidmatan yang diberikan. Impak rasuah kepada negara juga menjejaskan pertumbuhan ekonomi kerana hasil negara akan berkurangan, mewujudkan jurang pendapatan yang ketara antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah, dan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.  Malah keselamatan dan kestabilan negara turut terkesan dengan gejala rasuah kerana situasi ini berisiko untuk menyebabkan peningkatan kes jenayah dan ancaman anasir luar.


Oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 01/12/2022 | Kemaskini: 01/12/2022 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXETJAL~