INTEGRITI Cerminan Sahsiah Terpuji | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » INTEGRITI cerminan sahsiah terpuji

INTEGRITI cerminan sahsiah terpuji

Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

(Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897))

Integriti merupakan salah satu isu moral yang sinonim dikaitkan dengan penjawat awam. Hal ini disebabkan sektor perkhidmatan awam adalah pemangkin utama dalam pembangunan negara. Ekspektasi masyarakat terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan awam adalah tinggi. Apabila timbul sesuatu isu ketidakpuasan hati dengan perkhidmatan yang diterima, masyarakat pantas menjatuhkan hukum kepada penjawat awam. 

Sejak kebelakangan ini, sering kali terpampang di dada akhbar, kaca televisyen dan tidak terkecuali media sosial tentang isu penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah, pemalsuan dokumen, pembaziran dan pecah amanah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam. Situasi ini menambahkan lagi persepsi negatif masyarakat terhadap perkhidmatan awam. Walaupun hanya segelintir mereka yang terlibat dengan salah laku tersebut tetapi kesannya terpalit kepada semua penjawat awam bak kata pepatah “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. 

Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan integriti sebagai kejujuran atau keadaan sempurna dan utuh. Perkataan ini berasal daripada perkataan Latin, iaitu “integer” yang bermaksud menyeluruh, sempurna dan satu kesatuan yang teguh. Manakala Oxford Dictionary 2nd Edition (2003) mendefinisikan integriti sebagai “the quality of being honest and having strong moral principles the state of being whole and undivided”. Takrifan menurut Institut Integriti Malaysia pula adalah “perihal sifat individu dan organisasi yang sempurna berteraskan nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawab, telus, cekap dan bijaksana”. 

Penjawat awam merupakan individu yang mudah terdedah kepada salah laku berkaitan integriti. Tidak dinafikan bahawa mereka yang terlibat adalah yang mudah terpengaruh dengan kemewahan, kuasa dan pangkat. Apabila ketamakan menguasai diri, maka hilanglah pedoman sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan etika kerja semata-mata untuk memenuhi kantung sendiri. Apatah lagi sekiranya perbuatan tersebut tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa dan akan berterusan sekian lama. 

Persoalannya sejauh manakah kita sebagai penjawat awam menghayati dan mengamalkan budaya integriti dan etika kerja dalam pekerjaan dan kehidupan kita? Adakah kita hanya berpeluk tubuh dan memandang enteng isu ini? Kita tidak seharusnya bersikap seperti “enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” dan menganggap permasalahan ini bukan tanggungjawab kita untuk bersama-sama membanterasnya. Isu ini diibaratkan seperti virus yang akan terus merebak dalam masyarakat sekiranya dibiarkan dan boleh mewujudkan generasi yang tidak bermoral. Natijahnya, pembangunan negara boleh terjejas disebabkan kepincangan dalam tadbir urus.  

Justeru, kita sebagai penjawat awam perlu menerapkan prinsip dan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas agar citra perkhidmatan awam sentiasa dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat. Marilah kita bersama-sama menggembleng usaha menolak salah laku dan gejala tidak bermoral yang boleh mencemarkan maruah, bangsa dan agama. Budaya integriti yang kita amalkan akan menjadi cerminan kepada sahsiah yang terpuji.

“Integrity is the seed for achievement. It is the principle that never fails.”

Earl Nightingale

“Walk with honor, character, and integrity in all that you do. Do these things and you will find that you can appreciate the adventure of life and live with greater ease.”

Shawn L. Anderson

Oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 09/09/2021 | Kemaskini: 06/10/2021 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXETTAW~