Program Pembentukan Setiausaha Awesome Dan Ideal | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Program Pembentukan Setiausaha Awesome dan Ideal

Program Pembentukan Setiausaha Awesome dan Ideal

Serdang, 7 November - Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar telah menganjurkan satu Program Pembentukan Setiausaha Awesome dan Ideal bertempat di Auditorium Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan, UPM. 

Program ini disertai oleh sejumlah 109 staf yang berjawatan Setiausaha, Pembantu Setiausaha dan Pembantu Tadbir (yang menjalankan tugas setiausaha).

Objektif  program ini dilaksanakan adalah supaya peserta dapat membina penampilan untuk imej diri dan organisasi yang profesional. 

Selain itu, menerusi program ini juga akan dapat memupuk sikap proaktif mereka sebagai penjana budaya kerja yang dinamik dan progresif. 

Peserta juga berupaya memahami cabaran terkini profesion kesetiausahaan dan pentadbiran serta keperluan melakukan inovasi untuk mencapai kecemerlangan diri.

Pengisian program pada sebelah pagi ialah perkongsian daripada Puan Siti Fatimah Abdul Ghani, Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Pejabat Pendaftar tentang aura diri dan warna.

Sesi seterusnya pula bersama dengan Dr. Muhammad Asyraf Che Amat, Ketua Jabatan Kaunseling dan Psikolgi Kaunselor, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM yang berkongsi topik berkaitan pembentukan matlamat perubahan diri yang lebih dinamik, sistematik dan berkesan.

Menurut beliau, aspek tersebut akan memberi sumbangan yang bermakna dalam memajukan dan mencemerlangkan organisasi menerusi peningkatan prestasi kerjaya dan kualiti kehidupan.

Staf akan menjadi lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pekerja dengan melakukan anjakan paradigma terhadap diri, organisasi, rakan sekerja dan kerjaya.

Selain itu, beliau turut memberi pendedahan tentang peranan dan tanggungjawab sebagai setiausaha yang profesional.

Perkongsian pada sebelah petang pula disampaikan oleh Encik Ludinata Misnun, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, UPM.

Beliau berkongsi pengetahuan berkaitan teknik penjenamaan diri, keterampilan, keperibadian dan sahsiah dan the new me. 

Penutupan program ini telah disempurnakan oleh Encik Hisyamuddin Hashim, Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar. 

Secara keseluruhannya, peserta berpendapat program ini dapat memberi nilai tambah dan ilmu pengetahuan dalam aspek pemakaian yang bersesuaian ke pejabat, aura warna selain turut memberi motivasi kepada mereka dalam menjalankan tugas sebagai setiausaha.

Oleh: Abdul Rahman Jaafar

 

Date of Input: 17/11/2023 | Updated: 17/11/2023 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEdPAQ~