Pejabat Pendaftar Anjur Bengkel Kukuhkan Tindakan Ganti Rugi Pecah Kontrak Pegawai Cuti Belajar | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Pejabat Pendaftar anjur bengkel kukuhkan tindakan ganti rugi pecah kontrak pegawai cuti belajar

Pejabat Pendaftar anjur bengkel kukuhkan tindakan ganti rugi pecah kontrak pegawai cuti belajar

Serdang, 21 Disember – Pejabat Pendaftar UPM melalui Bahagian Pembangunan Sumber Manusia telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Tindakan Ganti Rugi Pecah Kontrak Perkhidmatan bagi pegawai cuti belajar termasuk Tenaga Akademik Muda di Astana Putra UPM pada 20 dan 21 Disember 2023.

Sesi pembukaan bengkel turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM dan Encik Muhazam Mansor, Pendaftar UPM. 

YBhg. Dato’ Naib Canselor berbesar hati menyampaikan hasrat dan amanat kepada peserta bengkel berkaitan strategi terbaik yang boleh dilakukan untuk mengukuhkan proses pemilihan, penawaran dan pemberian biasiswa cuti belajar.

Menurut beliau, hal ini supaya Universiti mendapatkan bakat yang terbaik, seterusnya memastikan pengurusan dan kawalan hutang pecah kontrak cuti belajar dapat ditangani dengan lebih efektif.

Pelaksanaan bengkel tersebut diadakan adalah untuk mengenal pasti tindakan pembetulan ke atas penghutang pecah kontrak terdahulu dan sedia ada.

Selain itu, sesi bengkel turut membincangkan tindakan penambahbaikan masa sekarang untuk memperkukuhkan pemantauan cuti belajar sedia ada bagi mengurangkan kes pecah kontrak.

Seterusnya tindakan pencegahan pada masa akan datang bagi mengelakkan kes penghutang pecah kontrak berulang.

Peserta bengkel terdiri daripada pegawai Pejabat Pendaftar, Pejabat Bursar, Pejabat Penasihat Undang-undang, wakil Jemaah Dekan, wakil Persatuan Pegawai Akademik UPM, beberapa Dekan Fakulti dan pegawai akademik.

Selain itu, wakil daripada Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) juga turut terlibat melalui sesi pembentangan modul pecah kontrak perkhidmatan yang sedang dibangunkan di bawah sistem Human Resources Transformation (HRT) Fasa 3. 

Modul tersebut dijangka akan dapat digunakan pada sukuan pertama 2024 untuk membolehkan tindakan pecah kontrak perkhidmatan staf cuti belajar dilaksanakan secara dalam sistem sepenuhnya.

Sesi penutup bengkel disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM dan turut dihadiri oleh Pendaftar UPM. 

Satu resolusi bengkel akan dikemukakan kepada pihak Pengurusan UPM untuk membolehkan hasil dan input bengkel dilaksanakan demi menjaga kepentingan dan mengurangkan risiko kepada pihak Universiti.

Disediakan oleh: Hamizan Wasoh @ Mohamad Isa

Date of Input: 26/12/2023 | Updated: 26/12/2023 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEdFAT~