Waspada Jerat ‘scammer’: Elak Diri Terjerumus Ke Lembah Kebinasaan | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Waspada jerat ‘scammer’: Elak diri terjerumus ke lembah kebinasaan

Waspada jerat ‘scammer’: Elak diri terjerumus ke lembah kebinasaan

Dalam meniti kehidupan pada marcapada, isu scammer (penipu) sering kali berlegar-legar dalam atmosfera masyarakat kita. Saban hari pasti ada berita berkaitan scammer terpampang di media massa seakan-akan tiada noktah. Isu penipuan dalam talian semakin bermaharajalela walaupun pelbagai usaha dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk mengekang gejala ini daripada terus membarah dalam masyarakat negara ini. 

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah penipuan dalam talian pada 2022 mencatatkan sedikit penurunan iaitu 20,041 kes berbanding 20,701 kes pada 2021. Jumlah kerugian akibat jenayah itu meningkat kepada RM684.5 juta tahun lalu berbanding jumlah kerugian dicatatkan pada 2021, iaitu sebanyak RM560.8 juta. 

Jumlah tangkapan berkaitan jenayah ini meningkat kepada 20,252 tangkapan pada tahun lalu berbanding 16,778 pada 2021. Selain itu, bagi tempoh antara tahun 2020 sehingga Mei 2022, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima sejumlah 5,513 aduan berunsur penipuan dan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa mereka.

Antara jenis jenayah scam yang sering dilaporkan ialah scam cinta, Macau scam, scam kerja sambilan, scam pinjaman dalam talian dan scam bungkusan. Ada juga mangsa yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berkaitan cabutan bertuah, dan ada pula yang terpengaruh dengan pelaburan skim cepat kaya dalam talian. Sasaran penipuan scammer ini tidak mengira usia, latar belakang, pekerjaan mahupun tahap pendapatan seseorang. 

Pelbagai modus operandi digunakan oleh scammer untuk memerangkap mangsa. Kebiasaannya mangsa akan menerima panggilan telefon daripada scammer yang menyamar sebagai pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah, bank dan sebagainya. Pemanggil mendakwa bahawa mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang, tunggakan hutang kad kredit, kegiatan penyeludupan, tunggakan bayaran cukai pendapatan dan pelbagai lagi kes jenayah serius lain.

Panggilan tersebut akan menyebabkan mangsa panik dan menafikan penglibatan mereka dalam kes yang dinyatakan. Tetapi scammer akan mengaplikasikan segala taktik kotor untuk terus meyakinkan mangsa. Pemanggil akan menyambungkan panggilan kepada pihak berkuasa yang lain, contohnya pegawai tertinggi polis yang kononnya mangsa betul-betul terlibat dengan jenayah tersebut. Hal ini tentu sekali akan mengakibatkan mangsa panik dan mempercayai sepenuhnya penipuan scammer.

Apabila mangsa ‘termakan umpan’ yang dipasang, scammer seterusnya akan mengarahkan mangsa memindahkan wang mereka ke akaun pihak ketiga yang diberikan, kononnya bagi tujuan siasatan. Ada juga yang diminta melakukan transaksi ke akaun pihak ketiga untuk tujuan pembayaran, contohnya bagi kes scam bungkusan. Lebih malang lagi ada mangsa yang terpaksa membuat pinjaman bank atau meminjam dengan saudara-mara, adik-beradik dan rakan serta Ah Long untuk membuat pembayaran tersebut.

Mengambil kira tahap keseriusan gejala ini, kita perlulah sentiasa cakna dan proaktif mempersiapkan diri dengan pengetahuan tentang tip dan langkah pencegahan untuk memerangi jenayah scam. Jangan panik dan bertenang apabila menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali. Kita juga boleh menggunakan aplikasi TrueCaller atau WhosCall untuk menyaring panggilan yang diterima. Selain itu, semakan nombor telefon tersebut juga boleh dibuat melalui laman sesawang Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di pautan http://ccid.rmip.gov.my/semakmule/.

Kita juga dinasihatkan supaya tidak mendedahkan apa-apa maklumat perbankan kepada pemanggil atau maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, e-mel, nombor pasport, alamat dan maklumat kesihatan. Selain itu, kita disarankan supaya tidak menekan sebarang pautan yang diterima melalui mesej, media sosia; atau e-mel. Semak kesahihan panggilan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa, contohnya PDRM, LHDN, SPRM atau mana-mana agensi yang berkaitan. Dapatkan khidmat nasihat daripada orang yang berkelayakan dan laporkan kepada pihak berkuasa jika curiga dengan panggilan diterima. 

Kesimpulannya, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menangani isu ini seperti kempen Anti Scam “Be Smart, Stay Alert” oleh PDRM , menambah baik dan meningkatkan ciri-ciri keselamatan siber oleh pihak bank, penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian dan lain-lain lagi. Kendatipun usaha yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa, masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka dengan berganding bahu menjalin kerjasama untuk membanteras gejala tidak bermoral ini yang merugikan negara. 

Sama-samalah kita berkongsi ilmu berkaitan jenayah ini dengan orang yang terdekat dengan kita supaya lebih ramai yang dapat diselamatkan daripada terjerumus ke lembah kebinasaan. Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa bukannya sedikit malah ada yang terpaksa menanggung hutang yang menimbun akibat terpedaya dengan kelicikan scammer. Oleh itu, kita hendaklah berfikir dahulu semasak-masaknya sebelum membuat sebarang perkara atau keputusan, bak kata peribahasa “Berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati”. Jika tersalah percaturan akan menatijahkan kebinasaan terhadap kehidupan kita, persis peribahasa “Sakit menimpa sesal terlambat”.  

Catatan: Marcapada (dunia sekarang ini)

Oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 14/07/2023 | Kemaskini: 14/07/2023 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEZTAu~