Kerjasama Pemangkin Keteguhan Organisasi | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Kerjasama Pemangkin Keteguhan Organisasi

Kerjasama Pemangkin Keteguhan Organisasi

"Alone we can do little. Together we can do so much." Helen Keller

Kita sering kali mendengar kata pepatah “Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah” yang menggambarkan betapa kekuatan sesebuah organisasi itu terletak pada jalinan kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan pekerjanya. Tidak kira sebesar mana pun saiz sesebuah organisasi itu atau jumlah pekerja, semangat kerjasama wajar disemai dan diterapkan dalam landskap organisasi tersebut. 

Kerjasama merupakan salah satu elemen yang sangat penting dalam sesebuah organisasi yang tidak harus dipandang enteng oleh pihak pengurusan. Tanpa elemen ini, suatu proses kerja yang dilakukan secara individu akan terasa membebankan dan sukar mencapai sasaran yang ditetapkan. Akibatnya organisasi berisiko menghadapi pelbagai masalah, antaranya kelewatan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan, kekurangan sumber maklumat atau kenaikan kos. 

Pihak pengurusan organisasi wajar membudayakan semangat bekerjasama dalam melaksanakan agenda organisasi dengan melibatkan warganya tanpa mengira hierarki. Setiap pekerja mempunyai kemahiran dan pengetahuan masing-masing yang unik dan tersendiri. Apabila sesuatu agenda organisasi dilaksanakan secara berganding bahu, maka akan wujud percambahan minda melalui perkongsian pelbagai idea yang bernas, kreatif dan inovatif.  

Proses kerja yang dilaksanakan secara bersama akan menjadi lebih mudah dan teratur bak kata pepatah “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” kerana bebanan kerja dikongsi bersama.  Bertitik-tolak daripada semangat kerjasama yang dibudayakan dalam kalangan pekerja, sesebuah organisasi mampu melahirkan sumber manusia yang dinamik dan berdaya maju. Mereka berupaya mencipta inovasi baharu dan seterusnya melakar pencapaian prestasi yang cemerlang untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat organisasi. 

Keteguhan sesebuah organisasi bergantung pada jalinan hubungan yang baik dalam kalangan pihak pengurusan dan pekerjanya. Apabila pekerja diberi ruang dan peluang untuk menonjolkan potensi diri, mereka akan berasa dihargai dan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi organisasi tersebut. Justeru, pihak pengurusan organisasi perlu cakna dan mengambil langkah proaktif untuk menyemarakkan semangat bekerjasama dan kebersamaan dalam usaha memperkukuhkan organisasi.    

Oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 01/11/2022 | Kemaskini: 01/11/2022 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEUBAn~