Ketagihan Permainan Video (Video Game) Dan Kesihatan Mental Pelajar | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Ketagihan Permainan Video (Video Game) Dan Kesihatan Mental Pelajar

Ketagihan Permainan Video (Video Game) Dan Kesihatan Mental Pelajar

Ketagihan Permainan Video (Video Game) Dan Kesihatan Mental Pelajar Institut Pengajian Tinggi

Menjalani fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) mungkin menjadi detik sukar untuk pelajar-pelajar yang berada di IPT. Mereka berusaha untuk beradaptasi atau menyesuaikan diri dengan keadaan dan kekangan.

Selain meneruskan sesi pembelajaran secara atas talian, pelajar perlu memanfaatkan masa dengan aktiviti yang sihat. Berdasarkan tinjauan, segelintir daripada mereka mungkin memilih permainan video sebagai alternatif mengisi masa terluang.

Pelajar-pelajar yang baru berjinak dengan permainan video perlu mengambil berat kesan amalan ini. Bermula dengan keterujaan untuk mencuba aktiviti permainan video, tanpa disedari corak tingkahlaku pelajar terhadap aktiviti ini boleh berubah sehingga menyebabkan ketagihan. Tempoh PKP yang agak panjang mungkin memberi ruang dan peluang kepada permasalahan ini sekiranya tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

Ditambah dengan ganjaran penggunaan internet percuma oleh syarikat telekomunikasi di musim PKP, pelajar mungkin memperuntukkan masa lebih lama untuk permainan video online. Pelajar boleh menjadi terlalu asyik bermain sehingga mengabaikan waktu makan, belajar dan tidur.

Permainan video boleh memberi implikasi negatif kepada kesihatan pelajar sekiranya dilakukan secara berlebihan. Aktiviti ini boleh menimbulkan tindak balas neurologi yang memberikan perasaan gembira dan mendorong pemain untuk bermain secara berterusan. Selain itu, sistem ganjaran yang menawarkan item maya seperti senjata dan perisai atau hadiah sebenar seperti langganan video streaming menjadikan permainan sukar dihentikan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan ketagihan permainan video atau gaming disorder sebagai masalah kesihatan mental. Berdasarkan maklumat yang dinyatakan di dalam The 11th Revision of the International Classification of Diseases (ICD-11) pada tahun 2018 , ketagihan permainan video bermaksud corak tingkahlaku terhadap permainan video yang bercirikan gangguan kawalan terhadap permainan (Contoh: kekerapan, durasi dan intensiti), keutamaan terhadap permainan melebihi aktiviti harian atau minat yang lain, dan kesinambungan atau peningkatan permainan walaupun pemain telah mengalami kesan negatif.

Bagi menjalankan diagnosis ketagihan permainan video, corak tingkahlaku pemain haruslah memberi gangguan yang signifikan terhadap diri, keluarga, sosial, pendidikan, pekerjaan atau fungsi penting kehidupan yang lain dan kebiasaannya berlaku sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan. Walaubagaimanapun, tempoh jangkamasa boleh dikurangkan sekiranya kesemua ciri diagnostik telah dikenalpasti dan gejala yang dialami oleh individu adalah cukup serius.

Ulasan sistematik bagi beberapa kajian di peringkat antarabangsa mendapati bahawa peratusan ketagihan permainan video online adalah di antara 0.7% hingga 27.5%. Peratusan ketagihan permainan video online dianggarkan lebih tinggi di negara-negara Asia dan dalam kalangan lelaki berusia antara 12 hingga 20 tahun.

Kajian menunjukkan bahawa ketagihan permainan video boleh mempengaruhi kesihatan fizikal, psikologikal dan fungsi sosial pemain. Ketagihan menyebabkan pemain mengalami tekanan, perubahan corak pemakanan dan tidur, kurang tumpuan semasa belajar atau bekerja dan kurang pergaulan sosial. Kesan paling serius ketagihan termasuklah kegagalan belajar, kehilangan pekerjaan dan kegagalan hubungan.

Dari segi kajian klinikal, ulasan komprehensif (comprehensive review) terhadap beberapa hasil kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan perkaitan antara ketagihan permainan video online, gejala Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dan kemurungan. Terdapat juga perkaitan antara ketagihan permainan video dan masalah gangguan kerisauan. Sejauh mana perkaitan ketagihan aktiviti ini dan kesihatan mental di Malaysia perlu dikaji secara terperinci.  

Bagaimana mengurangkan risiko masalah ketagihan permainan video khususnya dalam kalangan pelajar?.

Pelajar yang menggemari permainan video seharusnya peka dengan jumlah masa yang diperuntukkan untuk aktiviti permainan, terutamanya  apabila aktiviti harian yang lain mula diabaikan serta terdapat sebarang perubahan terhadap kesihatan fizikal atau psikologikal dan fungsi sosial yang disebabkan oleh corak tingkahlaku permainan video.

Pelajar perlu menyusun jadual harian dengan sebaiknya bagi memastikan pengurusan masa yang berkualiti.  Pelajar perlu memastikan kekerapan dan tempoh masa permainan video adalah terkawal. Hadkan aktiviti ini untuk beberapa jam sahaja dalam sehari.

Pelajar perlu peka terhadap perubahan corak tingkahlaku diri. Sekiranya, pelajar mengalami kesan seperti hilang minat terhadap aktiviti harian, gangguan mood dan penumpuan serta prestasi pelajaran merosot, mereka perlu segera berhenti bermain. Pelajar boleh mendapatkan khidmat nasihat dari kaunselor dan pakar psikiatri sekiranya perlu.

Peranan sokongan oleh rakan-rakan, pensyarah dan ahli keluarga kepada pelajar yang mengalami masalah ketagihan juga adalah amat penting. Berkomunikasi secara kerap dengan mereka boleh mengalih perhatian dan tumpuan mereka daripada permainan video dan membantu mereka untuk pulih. 

Permainan video boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat jika dilakukan dengan cara yang betul. Pelajar seharusnya tidak terlalu taksub dengan aktiviti permainan ini dan memastikan segala aktiviti harian dilakukan secara seimbang. Tumpuan terhadap pelajaran perlu diberi keutamaan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di IPT tidak terjejas sepanjang tempoh PKP.

Oleh:
Prof. Datin Dr. Sherina Mohd Sidik
Pakar Perunding Perubatan Keluarga,
Jabatan Psikiatri,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Timbalan Pengarah,
Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE),
Universiti Putra Malaysia
Emel: sherina@upm.edu.my

Tarikh Input: 27/11/2020 | Kemaskini: 27/11/2020 | mozaid

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
B1614926954