AMALAN BERTEGUR SAPA DALAM PENTADBIRAN | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » AMALAN BERTEGUR SAPA DALAM PENTADBIRAN

AMALAN BERTEGUR SAPA DALAM PENTADBIRAN

AMALAN BERTEGUR SAPA DALAM PENTADBIRAN

Sapaan yang diungkapkan seperti “Assalamualaikum atau salam sejahtera, Apa khabar?, Ni hau Ma?, Nama berita?, Guano demo?, Apa kaba kitak tek?, hai, hello” merupakan sebahagian amalan bertegur sapa yang sering dipraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat.  Walau bagaimanapun, ianya tidak terbatas dengan sekadar ungkapan kata sebaliknya dengan bermanis muka dan menguntum senyuman juga sudah cukup untuk kita bertegur sapa. Dalam konteks pengurusan pentadbiran khususnya di universiti, amalan bertegur sapa wajar dipraktikkan secara berterusan bagi mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan kakitangan sama ada yang melibatkan pekerja bawahan hinggalah kepada pegawai atasan. Kedua-dua kelompok entiti  ini saling melengkapi antara satu sama lain dan keperluan untuk bertegur sapa adalah penting untuk survival pentadbiran yang mempunyai kredibiliti dan akauntabiliti.

Memelihara hubungan baik antara rakan sekerja dengan cara bertegur sapa adalah sikap positif yang perlu diterapkan secara berterusan tidak hanya semasa di pejabat sebaliknya perlu diamalkan juga bila bersua dengan rakan sekerja di luar waktu pejabat. Hal ini penting untuk memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab dapat dilakukan dengan berkesan dan hubungan baik dapat dikekalkan. Sekiranya berlaku konflik dalam pentadbiran, amalan bertegur sapa dapat merapatkan semula pihak-pihak yang berkonflik tersebut. Tidak dinafikan juga konflik dalam pentadbiran ini wujud disebabkan perbalahan pendapat atau idea semasa menjalankan tugas, tidak mengikut arahan tugas yang diberikan, cuai dalam pelaksanaan kerja dan sebagainya.  Akan tetapi, konflik tersebut dapat ditangani dengan baik sekiranya amalan bertegur sapa telah sebati dalam diri setiap pekerja seterusnya dapat memperkukuh hubungan kerja dalam pengurusan pentadbiran tersebut.

            Amalan bertegur sapa juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi seseorang dan mengurangkan rasa malu apabila berurusan dalam kerja-kerja pentadbiran. Rasa malu untuk menegur rakan sekerja wajar dikikis supaya keyakinan diri dapat ditingkatkan dan mengelakkan diri menjadi pekerja yang pasif. Sememangnya terdapat cabaran untuk berkomunikasi dengan baik dalam pengurusan pentadbiran. Perkara ini lazimnya dipengaruhi oleh perasaan takut untuk berdepan dengan pekerja yang lebih berjawatan. Namun begitu, ianya bukanlah masalah besar sekiranya setiap pekerja bijak mengambil ruang dan peluang untuk bertegur sapa dengan cara yang sopan dan berhemah. Sebagai contoh, dengan memerhatikan perilaku semut ketika bertemu, semut seolah-olah  menunjukkan amalan bertegur sapa sebagai bentuk komunikasi dalam kelompok semut tersebut. Ketika kepala semut bertemu, antena atau sesungut setiap semut memberikan petanda di persekitaran sama ada mempunyai makanan ataupun musuh. Perilaku semut ini boleh dijadikan teladan dalam berkomunikasi yang dimulai dengan amalan bertegur sapa. Oleh itu, setiap pekerja wajar mengambil teladan berdasarkan perilaku semut tersebut supaya sikap malu dan perasaan takut dalam diri dapat dihindarkan dan kemahiran komunikasi dapat ditingkatkan malahan pengurusan pentadbiran akan menjadi lebih dinamik.

            Selain itu, amalan bertegur sapa dapat menunjukkan sikap mesra pelanggan dalam pengurusan pentadbiran. Pentadbir atau pekerja yang memulai sapaan mesra dan menguntumkan senyuman kepada pelanggan yang sedang berurusan dengan mereka sebenarnya telah meletakkan pentadbiran tersebut dekat di hati pelanggan. Kadang-kala,  ada juga pelanggan yang memulai amalan bertegur sapa dengan mengucapkan salam dan sebagainya. Situasi ini nampak biasa tetapi hakikatnya  telah memperlihatkan sebuah masyarakat yang bersopan santun dan bertatasusila. Tidak kiralah siapapun, sama ada pekerja atau pentadbir dan pelanggan yang berurusan, semuanya mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu mengangkat keperibadian yang baik dan unggul. Dalam konteks urus tadbir yang baik juga, amalan bertegur sapa tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja dan ianya perlu menjadi rutin harian supaya sikap mesra pelanggan dapat menjadi budaya berterusan dalam pengurusan pentadbiran.

            Oleh itu, amalan bertegur sapa diakui banyak manfaatnya. Apatah lagi jika sering diamalkan dalam pengurusan pentadbiran yang penuh dengan tugas dan tanggungjawab. Tidak kira agama, bangsa, pangkat dan darjat, sesebuah pentadbiran wajar menjadikan amalan bertegur sapa sebagai satu pendekatan untuk mengukuhkan tahap profesionalisme seseorang pekerja. Pendekatan ini sekali gus dapat memupuk budaya dan semangat kerja berpasukan yang mantap dan pentadbiran yang efektif serta diyakini  amalan pengurusannya.

 

 

 

Tarikh Input: 08/06/2017 | Kemaskini: 27/07/2018 | fahezah_nor

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXDdVAp~