CUTI SABATIKAL | PEJABAT PENDAFTAR
» CUTI SABATIKAL

CUTI SABATIKAL

  1.  Berapa lamakah tempoh perkhidmatan yang melayakkan seseorang untuk memohon Cuti Sabatikal? Bagaimanakah tempoh perkhidmatan dikira?

    Untuk perkhidmatan yang genap 3 tahun, Cuti Sabatikal (CS) yang layak dipertimbangkan adalah 5 bulan, manakala perkhidmatan yang genap 5 tahun, pegawai layak dipertimbangkan CS selama 9 bulan.

    Tempoh perkhidmatan dikira bermula dari tarikh pelantikan pertama; atau tarikh lapor diri tamat Cuti Belajar; atau tarikh lapor diri tamat Cuti Sabatikal yang terdahulu; atau tarikh lapor diri tamat Cuti Separuh Gaji/Cuti Tanpa Gaji.

  2. Bagaimanakah pengiraan ikatan perkhidmatan Pegawai setelah tamat Cuti Sabatikal dan melapor diri? Jika pegawai gagal menyelesaikan tempoh ikatan perkhidmatan, berapakah jumlah ganti rugi yang akan dituntut?

    Pegawai akan dikenakan ikatan kontrak perkhidmatan dengan UPM seperti jadual di bawah:

     

  3. Apakah tempoh minimum Cuti Sabatikal yang melayakkan pegawai mendapat bayaran elaun sara hidup kadar luar negara?

    Tempoh minimum Cuti Sabatikal di luar negara adalah 4 bulan.

     

  4. Berapakah had umur maksimum untuk memohon Cuti Sabatikal ?

    Merujuk kepada Statut UPM (Cuti Sabatikal) 1990, pegawai perlu menyelesaikan Cuti Sabatikal 3 tahun sebelum berpencen agar  tempoh ikatan dapat disempurnakan.

     

  5. Siapakah yang layak untuk memohon Cuti Sabatikal?

    Semua Pegawai berstatus tetap yang dilantik oleh UPM dan memegang jawatan sebagai Profesor, Profesor Madya dan Pensyarah.

     

  6. Apakah tujuan Cuti Sabatikal?

    Tujuan atau matlamat sebenar cuti sabatikal adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai dalam bidang mereka. Ini selari dengan perkembangan ilmu yang sentiasa berkembang. Untuk mencapai matlamat ini, pegawai dibenarkan untuk menjalankan cuti sabatikal dengan aktiviti berikut:

    • Menjalankan penyelidikan;
    • Lawatan akademik dan saintifik yang berkaitan dengan bidang pengkhususan/kepakaran pegawai;
    • Penulisan buku karya asal dengan syarat pegawai hanya menulis satu buku dalam tempoh cuti sabatikal yang diluluskan. Kebenaran yang diberikan adalah hanya untuk menyelesaikan penulisan, bukan pada peringkat permulaan penulisan;
    • kombinasi perkara (i), (ii) dan (iii) yang tersebut di atas yang akan mendatangkan faedah kepada negara, universiti dan guru.

     

  7. Apakah dokumen yang diperlukan untuk permohonan Cuti Sabatikal?
    • Borang Senarai Semakan Permohonan Cuti Sabatikal UPM
    • Borang Permohonan Cuti Sabatikal UPM (yang telah ditandatangani Dekan dan Ketua Jabatan) – sila ke Laman Web Pejabat Pendaftar –https://pendaftar.upm.edu.my/fail dokumen untuk muat turun borang.
    • Perancangan/Jadual Kerja/Aktiviti semasa Cuti Sabatikal secara terperinci
    • Proposal penyelidikan/deraf buku
    • Salinan surat tawaran universiti/organisasi berkaitan (surat tawaran hendaklah lengkap dan mempunyai tandatangan pihak Universiti/Organisasi berkaitan dan mohon nyatakan bench fees sekiranya ada)
    • Maklumat berkaitan kos insurans (jika berkenaan)

     

  8. Apakah syarat-syarat Cuti Sabatikal?
    • Telah disahkan dalam jawatan;
    • Mendapat sokongan Dekan dan Ketua Jabatan;
    • Bebas daripada tindakan tatatertib;
    • Tidak melebihi had umur (rujuk jawapan No. 25.4)

     

  9. Bagaimanakah perkhidmatan diambilkira untuk kelayakan Cuti Sabatikal?

    Perkhidmatan 3 tahun adalah perkhidmatan terus menerus selama 36 bulan dan perkhidmatan 5 tahun adalah perkhidmatan terus menerus selama 60 bulan dengan Universiti termasuk tempoh pinjaman tetapi tidak termasuk tempoh berikut

    • Cuti Tanpa Gaji;
    • Cuti Separuh Gaji;
    • Cuti Belajar;
    • Cuti Post Doktoral;
    • Cuti Sub Kepakaran;
    • Latihan bagi menghadiri sesuatu program di bawah Skim Latihan Bagi Pegawai Akademik;
    • Penangguhan Cuti Sabatikal yang telah diluluskan oleh Universiti;
    • Tahanan kerja atau penggantungan di bawah Kaedah Tatatertib Universiti; dan
    • Tahanan di bawah undang-undang berhubung dengan keselamatan Malaysia atau mana-mana sebahagiannya pencegahan jenayah atau tahanan pencegahan.

     

  10. Apakah kemudahan dan elaun yang dibayar semasa Cuti Sabatikal?

    Pegawai yang diluluskan Cuti Sabatikal dibayar gaji penuh dan faedah-faedah berikut:

    1. Cuti Sabatikal Kali Pertama Di Luar Malaysia: 
      • Tambang perjalanan pergi/balik (kelas ekonomi) bagi laluan yang terdekat dan termurah dengan menggunakan penerbangan MAS/AirAsia/One World;
      • Elaun sara hidup kadar luar negara mengikut kadar yang ditetapkan dengan syarat bahawa pegawai berkenaan tinggal di luar Malaysia bagi tempoh tidak kurang daripada 4 bulan;
      • Elaun Pakaian Panas (sekiranya tidak pernah menerima dalam tempoh 3 tahun);
      • Insurans Kesihatan (jika berkaitan);
      • Bench Fees (jika berkaitan)
      • Semua kemudahan ini adalah tertakluk untuk pegawai sahaja. Universiti tidak akan menanggung sebarang perbelanjaan sekiranya pegawai membawa keluarga.
      • Pegawai yang diluluskan untuk menjalani cuti sabatikal di luar negara dengan tajaan UPM, hanya layak dipertimbangkan sekali sepanjang perkhidmatan (sepertimana yang diluluskan dalam Mesyuarat Pihak Pengurusan UPM kali ke 259).

      Pemberian elaun seperti yang dinyatakan di atas adalah dengan berasaskan anggapan bahawa pegawai berkenaan tidak menerima apa-apa bantuan daripada pihak lain. Jika pegawai menerima apa-apa bantuan daripada pihak lain, Universiti berhak mengurangkan atau tidak memberikan langsung elaun/kemudahan yang biasanya diberikan oleh Universiti. Pegawai berkenaan juga hendaklah melaporkan apa-apa jua jenis bantuan kewangan atau kemudahan yang diterima daripada mana-mana pihak luar dengan segera kepada Universiti

    2. Cuti Sabatikal Kali Kedua dan Seterusnya: 
      • Elaun Sara Hidup kadar tempatan

      Pegawai juga adalah digalakkan untuk mendapatkan bantuan/pembiayaan luar dari Universiti. Walau bagaimanapun permohonan dari mana-mana punca selain daripada Universiti hendaklah dibuat oleh seseorang pegawai hanya dengan kelulusan UPM.

  11. Bagaimanakah dengan kedudukan Cuti Rehat dalam tempoh Cuti Sabatikal?

    Semasa menjalani cuti sabatikal, pegawai tidak layak mendapat cuti rehat dan semua cuti rehat yang belum diambil ketika memulakan cuti sabatikal dianggap luput. Selepas menyempurnakan cuti sabatikal, kelayakan cuti rehat akan dikira daripada tarikh pegawai melaporkan diri untuk bertugas semula di UPM.

     

  12. Bilakah pegawai perlu melapor diri bertugas semula setelah Cuti Sabatikal yang diluluskan tamat dan apakah dokumen yang perlu disertakan?

    Pegawai perlu melaporkan diri dengan kadar segera selepas tempoh Cuti Sabatikal tamat dengan mengemukakan dokumen berikut:

    • Borang lapor diri yang telah disahkan oleh Dekan dan Ketua Jabatan (borang boleh dimuat turun dalam Laman web Pejabat Pejabat);
    • Laporan Akhir Cuti Sabatikal yang telah disahkan oleh Dekan dan Ketua Jabatan;
    • Bukti Sesi Perkongsian telah dilaksanakan perlu dikemukakan ke Seksyen Cuti Belajar, Pejabat Pendaftar dalam dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh lapor diri.

     

  13. Berapa lama ikatan perjanjian yang perlu disempurnakan dengan UPM selepas melapor diri tamat Cuti Sabatikal?

    Pegawai yang diluluskan Cuti Sabatikal hendaklah menyempurnakan ikatan perjanjian dengan 2 orang penjamin, mengakujanji akan berkhidmat dengan Universiti selama tempoh:

    • 12 bulan daripada tarikh pegawai melaporkan diri untuk bertugas semula sekembalinya daripada Cuti Sabatikal, jika cuti itu diambil sebaik sahaja genap perkhidmatan 3 tahun; atau
    • 24 bulan daripada tarikh pegawai melaporkan diri untuk bertugas semula sekembalinya daripada Cuti Sabatikal, jika cuti itu diambil sebaik sahaja genap perkhidmatan 5 tahun.

     

  14. Adakah Pegawai yang diluluskan Cuti Sabatikal perlu memenuhi KPI tertentu?

    Ya. Pegawai yang diluluskan Cuti Sabatikal perlu memenuhi KPI seperti jadual di bawah:

     

    Jumlah penerbitan wajib sekurang-kurangnya 1 jurnal (sumitted). Bagi jumlah penerbitan melebihi 1, penerbitan lain boleh dari apa-apa bentuk seperti conference paper, buku dan lain-lain. Penerbitan perlulah dalam Jurnal CIJ dan pegawai perlu menjadi Penulis Senior (Senior Author), dan afiliasi institusi (affiliation) atau dwi afiliasi yang salah satunya ialah UPM.

    Bagi menjalani Cuti Sabatikal untuk tujuan penerbitan buku, wajib menghasilkan wajib menghasilkan 1 buku akademik dalam tempoh 6 bulan selepas melapor diri.

Kemaskini:: 27/11/2020 [syazaliyana]

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
F, (05:04:53am-05:09:53am, 09 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]