Serdang, 29 Mei 2024 – Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (HRD), Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Modul Program Kepemimpinan Institusi (PTM 2.0) secara bersemuka bertempat di Foyer Dewan Taklimat Serdang UPM pada 29 Mei 2024.

Bengkel ini disertai oleh 32 orang pegawai UPM yang terdiri dari kumpulan Akademik serta Pengurusan dan Profesional yang bertujuan untuk membangunkan kandungan modul yang akan digunakan dalam Program Kepemimpinan Institusi (PTM 2.0). Pembangunan modul program ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan semasa dan relevan dengan peranan dan tanggungjawab Ketua Pusat Tanggungjawab (Ketua PTJ).

Bengkel Pembangunan Modul Program Kepemimpinan Institusi (PTM 2.0) diadakan selama 1 hari ini dikendalikan oleh penceramah yang berwibawa iaitu Dr. Noor Zafira binti Noor Hasnan yang merupakan Pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan.

Sebanyak 12 modul telah dibangunkan dibawah kluster Tatakelola, Sumber Manusia, Kesejahteraan, Kompetensi Berasaskan Pengajaran, Penyelidikan dan Kepemimpinan Institusi. Modul yang dibangunkan bakal menjadi rujukan utama dalam pelaksanaan Program Kepemimpinan Institusi (PTM 2.0), sekaligus meningkatkan kompetensi Ketua PTJ dan membawa institusi ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

Disediakan oleh: Nazreen binti Padzoldad
Tarikh Input: 06/06/2024 | Kemaskini: 06/06/2024 | mohd.hasrul


Bangunan Canselori Putra,
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan