Serdang, 5 November – Sudah menjadi lumrah, semua orang yang bekerja akan bersara apabila tiba waktunya.
Transformasi daripada alam pekerjaan ke dunia persaraan memerlukan persediaan yang rapi dan terancang.
Selepas bersara, kita boleh menikmati hidup yang lebih tenang dan bebas tanpa perlu terikat dengan kesibukan kerja.
Tetapi, persoalannya adakah kita telah membuat persediaan yang secukupnya untuk mengharungi dunia baharu ini nanti?

Cakna dengan kepentingan untuk memberikan pendedahan berkaitan aspek penting yang perlu diketahui oleh bakal pesara, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kursus Prapersaraan UPM 2024 pada 5 hingga 7 November 2024.
Kursus ini yang diadakan di Auditorium Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM dihadiri oleh sebanyak 151 staf UPM Kampus Serdang dan Bintulu yang bakal bersara pilihan/wajib pada 2024, 2025, 2026 dan 2027.

Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal pesara tentang persediaan dari segi kewangan, fizikal, mental dan kerohanian bagi menempuhi dunia persaraan.
Melalui kursus ini, peserta telah didedahkan dengan aspek terpenting yang perlu dititikberatkan sebelum memasuki alam persaraan.
Aspek tersebut termasuklah mengenal pasti faedah yang layak dituntut, pengurusan cukai, hutang dan kewangan, pengurusan wasiat, hibah dan harta pusaka, penjagaan makanan dan kesihatan tubuh badan, persediaan kerohanian di usia emas dan mengenal pasti ancaman scammer dan kesannya.
Penceramah kursus terdiri daripada pegawai daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Dato' Prof. Dr. Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah (Naib Canselor/Ketua Eksekutif, Universiti Islam Selangor) dan Tuan Kamal Affandi Hashim (Penganalisis Jenayah).
Kursus Prapersaraan UPM 2024 turut mengadakan sesi Bual Bicara: Jejak Usahawan Pesara Berjaya dengan mengundang panel yang terdiri daripada pesara UPM, iaitu Dr. Syed Omar bin Syed Rastan (pesara UPM - 2010) dan Encik Tajuddin bin Abd. Manap (pesara UPM - 2016).

Manakala Encik Fahmi Azar bin Mistar, Timbalan Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM pula bertindak sebagai Moderator.
Disediakan oleh: Wan Noorshidah Wan Hussin
Tarikh Input: 27/11/2024 | Kemaskini: 27/11/2024 | mohd.hasrul


Bangunan Canselori Putra,
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan