SERDANG, 3 Jun 2026 – Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kursus Pembudayaan Prestasi Tinggi dan Penambahbaikan Berterusan yang berlangsung di Innohub Centre, Putra Science Park.
Kursus yang dianjurkan oleh Seksyen Latihan, Pejabat Pendaftar ini telah disertai oleh warga UPM dan bertujuan untuk memperkukuhkan budaya kerja cemerlang serta amalan penambahbaikan berterusan dalam kalangan peserta. Program latihan ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan budaya kerja prestasi tinggi dalam menyokong visi, misi dan strategi organisasi.
Sepanjang kursus, peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek penting termasuk pembentukan minda positif, proaktif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran serta perubahan organisasi. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada prinsip dan amalan budaya kerja prestasi tinggi yang merangkumi pengurusan masa, kerja berpasukan, inovasi dan akauntabiliti.

Kursus ini juga memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran membuat keputusan dan penyelesaian masalah secara strategik serta berorientasikan hasil. Di samping itu, peserta digalakkan untuk membudayakan sikap kepimpinan dan tanggungjawab bersama dalam usaha memperkukuh standard kerja yang cemerlang.
Melalui perkongsian ilmu dan pengalaman oleh penceramah yang dilantik iaitu Prof. Dr. Samsilah Roslan, Pengarah Putra Science Park, peserta turut didorong untuk mengaplikasikan nilai integriti, profesionalisme dan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas harian bagi meningkatkan produktiviti organisasi.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Pendaftar UPM dalam memperkasakan kompetensi warga universiti serta menyokong agenda pembangunan modal insan yang berkualiti dan berprestasi tinggi selaras dengan aspirasi universiti.
Tarikh Input: 09/06/2026 | Kemaskini: 10/06/2026 | noradlina


Bangunan Canselori Putra,
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan