Dalam melahirkan bakat yang berprestasi tinggi dalam kalangan staf, latihan merupakan salah satu proses yang paling penting bagi sesebuah organisasi. Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam menggariskan bahawa objektif latihan adalah untuk menyediakan staf yang berkelayakan, berkebolehan dan berkompetensi, mampu menghasilkan kerja yang bermutu, meningkatkan produktiviti, membentuk nilai-nilai murni dan sikap-sikap positif, mewujudkan nilai cipta dan nilai tambah dalam sektor awam dan menyediakan hala tuju kemajuan kerjaya staf (Pekeliling Perkhidmatan Bil 6 Tahun 2005).
Sebagai sebuah Universiti Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan latihan bagi meningkatkan mutu penyampaian, seterusnya merealisasikan matlamat untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan professional di semua peringkat sama ada staf baharu mahupun yang berpengalaman. Latihan juga mampu memberi lonjakan dan nafas baharu terhadap pembudayaan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat serta mempertingkatkan dan menambah nilai pengetahuan, memantapkan kemahiran kerja, mengubah sikap dan mengukuhkan KSA (KSA-Knowledge, Skills and Attitude) dalam kalangan warga UPM.