Pejabat Pendaftar Urus Bantuan Pengurusan Jenazah Kepada Waris Staf Meninggal Dunia | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Pejabat Pendaftar urus Bantuan Pengurusan Jenazah kepada waris staf meninggal dunia

Pejabat Pendaftar urus Bantuan Pengurusan Jenazah kepada waris staf meninggal dunia

SERDANG, 6 Jan – Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba boleh meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada mereka yang ditinggalkan. 

Begitulah gambaran situasi ini yang ditempuhi oleh keluarga Allahyarham Dr. Nik Mohd Faiz Nik Mohd Azmi, yang meninggal dunia pada 17 Disember 2022.

Allahyarham Dr. Nik Mohd Faiz merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Klinikal, Fakulti Perubatan Veterinar.

Pejabat Pendaftar yang menguruskan Bantuan Pengurusan Jenazah sentiasa cakna dan prihatin dengan kebajikan waris staf yang meninggal dunia.

Justeru, Pejabat Pendaftar telah mengadakan sesi penyerahan sumbangan kepada waris allahyarham oleh Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dengan diiringi oleh Pendaftar UPM, YBrs. Encik Muhazam Mansor.

Penyerahan sumbangan Bantuan Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000.00 disampaikan kepada isteri allahyarham, Dr. Nor Sheereen Zulkefly, semasa menziarahi keluarga allahyarham.

Turut hadir Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila, Pengarah Pusat Islam UPM, Ustaz Zuhaimi Abdul Rahim, Presiden Persatuan Pegawai Akademik (PPA) UPM, Prof. Dr. Jalila Abu, dan Encik Mohd Rizal Helmi A Razak, Ketua Seksyen Dakwah dan Pemasaran, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN).

Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Puan Suhana Md Chairi, dan Ketua Seksyen Perubatan dan Perhubungan Pekerja, Puan Zaimawati Mustapa juga turut serta dalam sesi ziarah tersebut.

Seterusnya, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan yang diiringi oleh Pengarah Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Prof. Dr. Hamidon Basri turut meluangkan masa menyantuni staf dan juga pesara UPM yang sedang mendapatkan rawatan di HPUPM.

Oleh: Zaimawati Mustapa



Date of Input: 10/01/2023 | Updated: 10/01/2023 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXFbPAK~