Pegawai Psikologi UPM Kongsi Detok Stres Dalam Pengurusan Emosi | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Pegawai Psikologi UPM kongsi Detok Stres dalam pengurusan emosi

Pegawai Psikologi UPM kongsi Detok Stres dalam pengurusan emosi

Sepang, 13 Ogos - Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Puan Siti Fatimah Abdul Ghani berkongsi latihan asas dalam pengurusan emosi melalui slot Detok Stres dalam Program Skuad Waja: Prihatin Rakyat.

Program ini yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita berlangsung di Bilik Rekreasi, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang, Selangor.

Antara pengisian slot Detok Stres adalah menggunakan kaedah psikoterapi secara holistik dari segi kognitif, emotif dan tingkah laku.

Gabungan elemen kreatif ekspresif secara spiritual mampu memberikan kefahaman yang mendalam kepada peserta tentang peranan mereka yang amat penting dalam memperkasakan wanita.

Slot khas ini disampaikan kepada 90 peserta dalam kalangan komuniti yang berdaftar sebagai Skuad Waja.

Perasmian Program Skuad Waja: Prihatin Rakyat ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Program ini bertujuan untuk memperkasakan wanita melalui aktiviti bimbingan dan program psikososial di peringkat komuniti.

Bermula Januari 2021 sehingga 31 Julai 2022, seramai 324,385 orang ahli Skuad Waja yang terdiri daripada 250,387 wanita dan 73,998 lelaki.telah mendaftar.

Slogan yang digunakan dalam Skuad Waja ialah Wanita Antijenayah yang memberi gambaran kekuatan, kesedaran dan kefahaman wanita dalam membudayakan bangsa yang cakna dan prihatin.

Penubuhan Skuad Waja ini merupakan inisiatif yang amat bertepatan dan relevan dengan objektif Kementerian dan memberi impak yang positif, terutamanya kepada mangsa yang sangat memerlukan sokongan dan bimbingan, maklumat serta sumber rujukan yang boleh membantu mereka agar terus kuat dan bebas daripada berterusan menjadi mangsa.

Skuad Waja berperanan sebagai rujukan masyarakat khususnya wanita dengan merujuk kes mangsa kepada pihak yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam mendapatkan pertolongan profesional.

Sebagai langkah proaktif, Puan Siti Fatimah merancang untuk memperkasakan Skuad Waja Negara di peringkat universiti.

Pelbagai aktiviti bersama komuniti dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita akan dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat.

Keahlian Skuad Waja adalah terbuka kepada semua ahli masyarakat. Semakin ramai yang mendaftar, maka semakin ramai wanita yang berdaya saing dan berketerampilan menjadi penggerak keharmonian negara.

Disediakan oleh: Siti Fatimah Abdul Ghani

Date of Input: 18/08/2022 | Updated: 18/08/2022 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEUUAC~