Kursus Penulisan Kertas Kerja & Kertas Cadangan: Format, Teknik & Gaya Penulisan | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Kursus Penulisan Kertas Kerja & Kertas Cadangan: Format, Teknik & Gaya Penulisan

Kursus Penulisan Kertas Kerja & Kertas Cadangan: Format, Teknik & Gaya Penulisan

Serdang, 22 Disember – Seksyen Latihan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kursus Penulisan Kertas Kerja & Kertas Cadangan: Format, Teknik & Gaya Penulisan melalui platform Zoom pada 22 Disember 2021. 

Sesi perkongsian dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah disampaikan oleh Encik Abdullah Arshad, Timbalan Pendaftar Kanan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Kursus ini dihadiri oleh 93 orang staf UPM pelbagai jawatan daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) dan Kumpulan Pelaksana. 

Dalam perkongsiannya, penceramah mengetengahkan isu dan cabaran yang dihadapi dalam proses penyediaan kertas kerja dan kertas cadangan.

Antaranya terdapat kertas kerja atau kertas cadangan yang tidak mematuhi format, maksud atau objektif yang tidak jelas, tidak mengikut tempoh, tidak mengikut prosedur kelulusan, tiada rujukan/punca kuasa/arahan dan sebagainya.

Menurutnya, terdapat lima prinsip penulisan kertas kerja atau kertas cadangan iaitu format, jelas (clear), lengkap (comprehensive), betul (correct) dan ringkas (concise). 

Beliau turut menunjukkan beberapa contoh format kertas kerja dan kertas cadangan yang standard bagi memberi gambaran yang lebih jelas kepada peserta tentang cara penulisannya.

Kursus ini banyak memberi manfaat dan input kepada peserta dari segi meningkatkan kefahaman mereka tentang konsep dan kepentingan kertas kerja dan kertas cadangan yang berkualiti, dan juga meningkatkan pengetahuan berhubung ciri-ciri kedua-dua kertas tersebut. 

Selain itu, mereka juga memperoleh kefahaman berkenaan proses dan keperluan persediaan kedua-dua jenis kertas serta mendapat pendedahan tentang format, teknik dan gaya penulisan kedua-duanya berdasarkan jenis atau kategori dan tujuannya.

Disediakan oleh: Rafiza Ahmad

Date of Input: 03/01/2022 | Updated: 03/01/2022 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXDdOAU~