Kolaborasi Pejabat Pendaftar, WAZAN, Sahabat Masjid Jayakan Misi Putra Cakna Bantuan Pascabanjir Pantai Timur | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Kolaborasi Pejabat Pendaftar, WAZAN, Sahabat Masjid jayakan Misi Putra Cakna Bantuan Pascabanjir Pantai Timur

Kolaborasi Pejabat Pendaftar, WAZAN, Sahabat Masjid jayakan Misi Putra Cakna Bantuan Pascabanjir Pantai Timur

Serdang, 19 Mac - Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Zakat, Wakaf dan Endowmen (WAZAN) UPM dan Sahabat Masjid UPM telah berkolaborasi melaksanakan Misi Putra Cakna Bantuan Pascabanjir Pantai Timur ke Kelantan dan Terengganu dari 19 hingga 20 Mac 2022.

Prof. Dato’ Dr. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM dengan diiringi oleh YBrs. Encik Muhazam Mansor, Pendaftar UPM telah menyempurnakan majlis pelepasan misi tersebut. 

Pada misi bantuan tersebut, seramai 200 pelajar dan 20 staf UPM terlibat untuk menyampaikan bantuan keperluan asas dan keperluan diri kepada mangsa banjir yang terlibat dengan kerjasama NGO tempatan dan wakil kampung yang terkesan akibat banjir yang melanda.

Selain itu, mereka juga terlibat dengan kerja sukarelawan, iaitu gotong-royong di rumah mangsa banjir, masjid dan surau, sekolah dan dewan orang ramai.

“Pejabat Pendaftar sentiasa cakna dan menyokong penuh program yang berbentuk kebajikan seumpama ini bukan sahaja dalam UPM malah kepada masyarakat luar,” ujar Encik Muhazam.

Misi Putra Cakna Bantuan Pascabanjir Pantai Timur ini menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia dan solidariti Pejabat Pendaftar khususnya dan UPM amnya dalam membantu masyarakat bukan sahaja di Selangor malah menjangkaui sempadan negeri lain. 

Bantuan pascabanjir ini merupakan sumbangan WAZAN UPM dan warga UPM yang diharap dapat meringankan penderitaan keluarga yang terlibat dengan bencana banjir.

Pada masa akan datang, Pejabat Pendaftar merancang untuk lebih aktif terlibat dalam program seperti ini sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat.

Disediakan oleh: Zaimawati Mustapa

 

Date of Input: 02/09/2022 | Updated: 02/09/2022 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXESOAK~