Inovasi UPM Raih 2 Emas Di Hyderabad, India | REGISTRAR OFFICE
» NEWS » Inovasi UPM raih 2 emas di Hyderabad, India

Inovasi UPM raih 2 emas di Hyderabad, India

Serdang, 30 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi melakar pencapaian antarabangsa yang cukup membanggakan apabila ciptaan inovasi daripada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Langit Putra (Putra Science Park) dan Kumpulan LEAN, The Budders (Pusat Pertanian Putra) telah menerima pengiktirafan Par Excellence Award yang bertaraf anugerah emas daripada juri Korea Selatan dan India.

Kedua-dua kumpulan berkenaan telah menyertai pertandingan quality circle antarabangsa 46th International Convention on Quality Control Circles – 2021 (ICQCC-2021) di Hyderabad, Telangana, India yang berlangsung secara dalam talian pada 24 hingga 27 November 2021.

Kejayaan inovasi ini merupakan rentetan daripada inisiatif Pejabat Pendaftar sebagai peneraju kepada KIK dan LEAN di UPM.

Menurut Muhazam Mansor, Pendaftar UPM, UPM sememangnya giat menghasilkan R&D dan inovasi dalam kalangan akademia mahupun pentadbir.

Katanya lagi, UPM akan terus mengangkat inovasi ke peringkat lebih tinggi di persada antarabangsa dalam usaha membuktikan kecemerlangan inovasi yang akan dapat membantu universiti, komuniti mahupun industri.

ICQCC, anugerah berprestij di peringkat antarabangsa dianjurkan setiap tahun dengan penyertaan oleh kumpulan Team Excellence terbaik daripada agensi kerajaan dan swasta di setiap negara. 

Pemilihan tema “Quality Concepts Facilitating Societal and Economic Turnaround” oleh Quality Circle Forum of India (QCFI) selaku penganjur pada tahun ini bertepatan dengan situasi pandemik global yang menyaksikan impaknya kepada masyarakat dan usaha pemulihan ekonomi di seluruh dunia.  

Tema ini juga memperlihatkan usaha berterusan untuk penambahbaikan dan inovasi kepada pengamal Konsep Kualiti di seluruh dunia ke arah penyelesaian inovatif dan membangunkan pelbagai kaedah penyelesaian dalam industri masing-masing.

Kumpulan Langit Putra yang diketuai oleh Asrizam Esam membentangkan inovasi Skyridder, iaitu alat pemotong dawai panjang pemegang tunggal yang dapat memotong pengikat gegantung (bunting) atau dawai pada tiang lampu dengan pantas dan selamat tanpa penggunaan tangga. 

Alat ini turut membantu menyingkirkan masalah pencemaran dawai karat dan iklan haram pada tiang lampu dengan cepat selain dapat mempercepatkan 80% masa kerja membuang dawai yang kebiasaannya ditinggalkan selepas gegantung diturunkan. 

Manakala inovasi Putra Pro-Cut & Putra Fast-Snap daripada Kumpulan The Budders yang diketuai oleh Mohd. Rosman Jamaludin pula adalah alat kaedah pembiakan pokok secara markot (tut) dengan lebih efisien, meningkatkan produktiviti, dan menjimatkan kos pengeluaran serta dapat mengelakkan kecederaan.

Kedua-dua kumpulan daripada UPM ini adalah antara 81 kumpulan Team Excellence yang terbaik di Malaysia yang diselaraskan oleh pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bertujuan untuk mengukuhkan budaya kreativiti dan inovasi di sesebuah organisasi.



Bil. 

Kumpulan

Inovasi

Ahli

Anugerah

 

Kumpulan KIK Langit Putra – PSP & Pej TNCPI

Skyridder – long handle wire cutter

Asrizam Esam (Ketua), Norliyana Kamarudin, Hafliza Hussin, Norazlin Monir, Muhammad Izzat Nor Adzmi, Mohammad Hisham Omar, Mohd Mas’ataillah Ismail 

Par Excellence Award

 

Kumpulan LEAN 

The Budders  –TPU

Putra Pro-Cut & Putra Fast-Snap - Proses Markot
Tanaman Buah-buahan

Mohd. Rosman Jamaludin (Ketua), Md. Rozaidi Md. Yusof,  Ahmad Fauzi Hj Sharif,   Mohd. Kharizan Suriati,     Mohd. Hanif Kamarudin, Rostam Kasim,  Kalaivani Palani, Syed Ghazali Jalalulin Syed Hassan 

Par Excellence Award


Disediakan oleh: Asrizam Esam

Date of Input: 28/12/2021 | Updated: 28/12/2021 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXDdBA4~