Minda Sihat Jana Produktiviti Organisasi | REGISTRAR OFFICE
» ARTICLE » Minda Sihat Jana Produktiviti Organisasi

Minda Sihat Jana Produktiviti Organisasi

Pekerja merupakan aset yang penting dalam sesebuah organisasi. Hubungan pekerja dan organisasi boleh diibaratkan seperti aur dengan tebing. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Sinergi kedua-duanya memastikan kesinambungan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan dan pihak yang berkepentingan.

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh organisasi dewasa ini adalah kesihatan pekerja, sama ada dari segi fizikal atau mental. Faktor yang mempengaruhi kesihatan pekerja adalah seperti persekitaran tempat kerja, beban tugasan yang diterima, sokongan daripada organisasi, kerjasama daripada rakan sekerja dan sebagainya. Selain itu, masalah kesihatan pekerja juga sering dikaitkan dengan gaya hidup yang diamalkan termasuk corak pemakanan dan tabiat kurang sihat seperti merokok dan kurang bersenam.

Dalam situasi semasa pandemik Covid-19 ini, pekerja bukan hanya berisiko terdedah kepada jangkitan virus tersebut malah menghadapi masalah tekanan (stres). Amalan norma baharu menuntut mereka untuk menerima transformasi corak kerja yang berbeza sama sekali dengan situasi sebelumnya. Mereka perlu mengadaptasikan norma baharu tersebut bukan sahaja dalam kehidupan malah pekerjaan mereka bagi memastikan pelaksanaan tugas terus berjalan.      

Bagi pekerja yang menghadapi masalah tekanan disebabkan bebanan kerja atau hal peribadi, khidmat kaunseling adalah sangat diperlukan. Hal ini dapat membantu mereka mengharungi waktu yang sukar dan memberi motivasi kepada mereka. Masalah kesihatan berkaitan mental tidak boleh dipandang enteng kerana boleh menjejaskan produktiviti sesebuah organisasi. Natijahnya petunjuk prestasi organisasi tersebut tidak akan dapat dicapai.

 

Sehubungan itu, mereka digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dari segi pemakanan dan banyakkan bersenam, sentiasa berfikiran positif dan memperbanyakkan aktiviti sosial bersama keluarga dan rakan. Minda yang sihat boleh melahirkan idea yang kreatif seterusnya menyumbang kepada produktiviti organisasi. Persekitaran kerja yang kondusif membantu pekerja melaksanakan tugas dengan lancar dan berkesan. Sokongan organisasi juga turut berperanan ke arah membentuk pekerja yang cekap, amanah dan berdedikasi. Jalinan kerjasama dengan rakan sekerja dapat merealisasikan aspirasi dan matlamat organisasi.   

Justeru, organisasi perlu peka dan prihatin dengan masalah kesihatan pekerja terutamanya kesihatan mental. Minda dan emosi yang sihat menyerlahkan pemikiran dan tindakan yang proaktif, efisien dan amanah, seterusnya menyumbang kepada penjanaan produktiviti organisasi.   

Oleh : Nor Azila Azmi

Foto : Mozaid Idris    

 

Date of Input: 06/04/2021 | Updated: 06/04/2021 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
W1VMKUQ1