Literasi Digital Penjawat Awam Mantapkan Kualiti Penyampaian Perkhidmatan | REGISTRAR OFFICE
» ARTICLE » Literasi digital penjawat awam mantapkan kualiti penyampaian perkhidmatan

Literasi digital penjawat awam mantapkan kualiti penyampaian perkhidmatan

Era globalisasi dan ledakan maklumat pada masa ini menyaksikan pelbagai inovasi teknologi baharu dicipta hasil cetusan idea yang kreatif dan inovatif. 

Meskipun seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 yang menjejaskan sektor ekonomi, situasi ini turut membawa kepada anjakan paradigma baharu dalam kehidupan sosial masyarakat. 

Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, teknologi Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), sektor awam juga mengalami transisi yang pantas dalam penyampaian perkhidmatan melalui inisiatif Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025.

Reformasi dalam sektor awam melalui teknologi pendigitalan ini memberikan impak yang cukup besar dan positif kepada pembangunan sesebuah organisasi dan komuniti, apatah lagi pada waktu yang cukup mencabar ketika ini.

Teknologi pendigitalan dalam sektor awam merupakan langkah proaktif yang tepat pada masanya memandangkan situasi semasa yang mengehadkan pergerakan dan menuntut kita untuk hidup dalam norma baharu.

Langkah pendigitalan perkhidmatan dalam sektor awam mencerminkan iltizam kerajaan dalam menambah baik mutu penyampaian yang lebih efisien, dinamik dan diyakini.

Sebagai penjawat awam, transisi budaya kerja daripada kaedah manual kepada digital perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan dalam proses kerja dan produktiviti organisasi, pada masa yang sama meminimumkan pembaziran sumber dari segi kos, masa dan tenaga.  

Penjawat awam perlu komited, berani dan yakin untuk mengadaptasi kemahiran digital yang mampu melonjakkan citra dan prestasi penjawat awam khususnya dan sektor awam amnya pada mata masyarakat.

Secara tuntasnya, literasi digital dalam kalangan penjawat awam bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan yang penting dikuasai dalam melahirkan pekerja kalis masa hadapan agar kekal relevan dalam apa jua perubahan landskap pekerjaan.

“To improve is to change; to be perfect is to change often”

                    (Winston Churchill)

Oleh : Nor Azila Azmi 

Date of Input: 01/04/2022 | Updated: 04/04/2022 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEUEAd~