Serlah Profesionalisme Pekerja Melalui Kemahiran Penulisan Dokumen Rasmi | PEJABAT PENDAFTAR
» BERITA » Serlah profesionalisme pekerja melalui kemahiran penulisan dokumen rasmi

Serlah profesionalisme pekerja melalui kemahiran penulisan dokumen rasmi

Serdang, 17 November – Menguasai penulisan dokumen rasmi merupakan kemahiran penting yang perlu ada pada penjawat awam. Hal ini disebabkan oleh perkhidmatan awam sentiasa dalam radar pemerhatian masyarakat yang acap kali menilai kualiti penyampaian perkhidmatan mereka.  

Bagi meningkatkan tahap kompetensi dan profesionalisme penjawat awam, mereka seharusnya bersedia melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran. Ini termasuklah kemahiran yang berkaitan dengan tugasan harian seperti penulisan surat rasmi, memo dan minit mesyuarat.

Pejabat Pendaftar sentiasa cakna akan keperluan latihan kompetensi diterapkan dalam diri setiap pekerja. Justeru, Seksyen Latihan telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Penulisan Surat Rasmi, Memo dan Minit Mesyuarat Berkualiti bagi membimbing peserta menguasai kemahiran penulisan yang baik dan berkualiti. 

Kursus selama satu hari ini diadakan secara dalam talian melalui platform Zoom dengan kehadiran peserta seramai 45 orang daripada kategori Pelaksana dan Pengurusan & Profesional. 

Sesi perkongsian disampaikan oleh Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid bin Abdullah Tahir, Perunding Latihan daripada INTAN Bukit Kiara. Beliau adalah Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam yang juga berpengalaman sebagai editor buku dan penulis kajian kes. 

“Terdapat tiga tahap proses penulisan surat rasmi kerajaan, iaitu prapenulisan, penulisan sebenar dan pascapenulisan. Surat rasmi yang berkualiti mempunyai enam ciri iaitu kejelasan, kesatuan makna, rajut atau rangkai, diabsahkan, santun, serta isi ringkas dan padat”, katanya.

Beliau turut berkongsi menyertakan beberapa contoh dan latihan ejaan bagi mengukuhkan kefahaman peserta. Bagi penulisan minit mesyuarat, beliau memperincikan tanggungjawab urus setia mesyuarat merangkumi tindakan pramesyuarat, tindakan semasa mesyuarat dan tindakan pascamesyuarat.

Kursus ini memberi pendedahan dan pemahaman kepada peserta tentang kepentingan gaya bahasa dan ayat yang sesuai dalam penulisan surat, memo dan minit mesyuarat secara jelas dan berkesan dengan menggunakan kaedah penulisan dokumen rasmi. Melalui perkongsian ini juga dapat membantu mereka menyediakan penulisan surat rasmi, memo, dan e-mel mengikut format yang standard berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan terkini.

Selain itu, ia juga menyasarkan peserta dapat mengaplikasi teknik kemahiran menggunakan kaedah penulisan dokumen rasmi khususnya dalam penulisan surat, memo dan minit mesyuarat setelah menghadiri kursus.

Disediakan oleh: Abdul Rahman bin Jaafar

Tarikh Input: 02/12/2021 | Kemaskini: 02/12/2021 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXDdQAa~