Pupuk Emosi Positif Di Tempat Kerja Dengan Kecerdasan Emosi | PEJABAT PENDAFTAR
» BERITA » Pupuk emosi positif di tempat kerja dengan kecerdasan emosi

Pupuk emosi positif di tempat kerja dengan kecerdasan emosi

Serdang, 11 November  – Kemahiran kecerdasan emosi merupakan aspek penting untuk memberi kesan emosi positif kepada pekerja di tempat kerja. Melalui kemahiran yang ada pada seseorang individu, ia dapat mencerminkan keperibadian tinggi yang dimiliki olehnya. 

Kecerdasan emosi perlu dipupuk dalam diri setiap pekerja supaya mewujudkan suasana kerja yang harmoni, mengurangkan persengketaan, saling hormat-menghormati dan sentiasa muafakat dalam membuat keputusan.

Sehubungan dengan itu, Seksyen Latihan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kursus Kecerdasan Emosi (Lanjutan) secara dalam talian melalui aplikasi Zoom pada 11 November 2021. 

Seramai 33 staf UPM pelbagai bidang jawatan daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) dan Kumpulan Pelaksana menyertai kursus selama satu hari ini. 

Sesi kursus ini dikendalikan oleh dua penceramah profesional iaitu Prof. Dr. Angzass Sari Mohd Kassim daripada Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Dr. Amir Aris daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM).

Dalam kursusnya, penceramah menerangkan cara memahami tindakan diplomasi dan berhemah serta corak pemikiran organisasi, berkumpulan dan individu dengan menggunakan kaedah pengurusan emosi yang bersesuaian di tempat kerja setelah tamat latihan.

Teknik kemahiran kecerdasan emosi yang diaplikasi akan memberi kesan emosi positif kepada peningkatan prestasi di tempat kerja dalam tempoh tiga bulan. Hal ini turut meliputi perincian seperti mampu melayan setiap individu daripada pelbagai lapisan organisasi dengan berhemah dan peka; sentiasa terbuka dan mudah didekati apabila menyelesaikan isu kompleks dan amat sensitif; tahu masa untuk bertegas dan bertolak ansur; dan mendengar dan memahami dengan tepat fikiran atau perasaan yang tidak dizahirkan orang lain dan mengambil tindakan perkara tersebut.

Disediakan oleh: Nazreen binti Padzoldad

Tarikh Input: 25/11/2021 | Kemaskini: 25/11/2021 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEXQAE~