Kursus Peralihan Kerjaya (Prapersaraan) UPM 2022 Bantu Persediaan Bakal Pesara | PEJABAT PENDAFTAR
» BERITA » Kursus Peralihan Kerjaya (Prapersaraan) UPM 2022 bantu persediaan bakal pesara

Kursus Peralihan Kerjaya (Prapersaraan) UPM 2022 bantu persediaan bakal pesara

Serdang, 28 Ogos – Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kursus Peralihan Kerjaya (Prapersaraan) UPM 2022 bertempat di LaCrista Hotel, Melaka dari 28 hingga 30 Ogos 2022.

Kursus ini disertai oleh 117 orang bakal pesara UPM yang terdiri daripada semua kumpulan perjawatan. 

Slot kursus selama 3 hari 2 malam ini dimuatkan dengan beberapa sesi perkongsian yang cukup bermanfaat oleh penceramah yang berwibawa dari dalam dan luar UPM. 

Sesi pertama bertajuk “Pengurusan Wang dan Scammer Kewangan” telah disampaikan oleh Encik Azli Mokhtar daripada Bank Negara Malaysia pada hari pertama kursus.

Seterusnya pada hari kedua, Encik Mazhar Hazrin Jamaluddin daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) berkongsi tentang “Faedah-faedah Persaraan” kepada para peserta. 

Perkongsian ini membantu mengukuhkan kefahaman bakal pesara tentang faedah persaraan serta aspek pengurusan dokumen dan maklumat yang diperlukan oleh KWAP, Jabatan Perkhidmatan Persaraan sebelum bersara.

Sesi perkongsian yang ketiga bersama Encik Ahmad Azmi Abu Hassan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyentuh berkaitan “Persediaan Persaraan dari Aspek Percukaian”. 

Topik ini dilihat sangat relevan dalam memantapkan pengetahuan peserta untuk menangani isu atau permasalahan yang mungkin timbul berkaitan percukaian sewaktu persaraan.

Sesi seterusnya oleh Dr. Fauziah Adnan daripada Pusat Kesihatan Universiti (PKU), UPM bertajuk “B Healthy (Be Healthy, Be Inspired, Live Naturally) menekankan aspek penjagaan makanan yang seimbang, panduan dan kaedah penjagaan kesihatan serta senaman yang mudah dan berkesan mengikut tahap usia untuk menjamin kesihatan yang sempurna.

Dalam menghadapi dunia persaraan, bakal pesara berisiko untuk mengalami masalah kesihatan sekiranya tidak menitikberatkan pemakanan yang sihat dan menjaga kesihatan diri sejak dari awal.

Para peserta kemudiannya bersama-sama melakukan senaman Let’s Get In-Shape selama kira-kira sejam.

Pada sebelah malamnya, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM dengan diiringi oleh YBrs. Encik Muhazam Mansor, Pendaftar UPM telah menghadiri Dinner Talk bersama Bakal Pesara.

Sesi perkongsian pada hari terakhir kursus diteruskan dengan topik berkaitan Pengurusan Kewangan iaitu “Bijak Melabur Bukan Lebur” dan “Harta Pusaka atau Harta Puaka” oleh Encik Shamsuddin Kadir daripada Ultra Mind Resources.

Topik ini diharap dapat meningkatkan kesedaran peserta dalam pengurusan dan perancangan kewangan menjelang hari persaraan mereka kelak.

Beliau juga turut menyampaikan perkongsian yang bertajuk “Keusahawanan di Alam Persaraan” sebelum sesi penutup kursus.

Disediakan oleh: Nazreen Padzoldad

Tarikh Input: 20/09/2022 | Kemaskini: 20/09/2022 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEaHAt~