Kolaborasi UPM, MPC Mampu Tingkat Prestasi Dan Produktiviti Pekerja | PEJABAT PENDAFTAR
» BERITA » Kolaborasi UPM, MPC mampu tingkat prestasi dan produktiviti pekerja

Kolaborasi UPM, MPC mampu tingkat prestasi dan produktiviti pekerja

Serdang, 5 Ogos – Mutakhir ini era pendigitalan teknologi telah banyak mentransformasikan cara bekerja dalam sektor awam.

Seiring dengan perkembangan pesat dalam era teknologi masa kini, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan bersama dengan pihak Malaysia Productivity Corporation (MPC).

MPC berperanan memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris.

Produktiviti menjadi agenda utama dalam kolaborasi strategik MPC dengan sektor awam dan swasta untuk melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara. 

Antara objektif MPC adalah membangunkan modal insan dan kecemerlangan organisasi bagi membentuk masyarakat berasaskan pengetahuan melalui latihan, pembangunan sistem dan amalan terbaik, dan memupuk budaya kreatif dan inovatif demi produktiviti dan daya saing menerusi program jalinan kerjasama.

Satu sesi perbincangan selama satu jam setengah telah diadakan di Bilik Mesyuarat Putra 1, Pejabat Pendaftar, Bangunan Canselori Putra, UPM. 

Perbincangan memfokuskan pada kaedah atau teknologi bersesuaian yang dapat diaplikasikan untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti pekerja dalam mendepani situasi kekangan sumber modal insan. 

Pejabat Pendaftar diwakili oleh Encik Muhazam Mansor (Pendaftar), Puan Suhana Md. Chairi (Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia), Encik Azizi Ismail (Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia), Puan Zaimawati Mustapa (Ketua Seksyen Perubatan dan Perhubungan Pekerja mewakili Ketua Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia) serta wakil Seksyen Pentadbiran dan Kewangan. 

Wakil MPC terdiri daripada Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Pengarah Pembangunan Produktiviti dan Daya Saing (PCD), Dr. Halimaton Saadiah Let, Timbalan Pengarah PDC dan Encik Asmawadi Mohamed, Pengurus Kanan PDC.

Melalui kolaborasi dengan pihak MPC, Pejabat Pendaftar komited untuk memantapkan pengurusan sumber manusia di UPM bagi memastikan kesinambungan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada pemegang taruh.

Disediakan oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 09/08/2022 | Kemaskini: 09/08/2022 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEZUAY~