Organisasi hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang berpunca dari faktor dalaman dan luaran. Keupayaan organisasi untuk menghadapi cabaran dan rintangan akan membolehkan organisasi berkenaan terus berada dalam landasan yang betul dalam mencipta kecemerlangan.
Seksyen Latihan (Bukan Akademik), Pejabat Pendaftar, telah menganjurkan Kursus Kepimpinan dan Kepengikutan Ke Arah Kecemerlangan Organisasi pada 22-23 April 2013 di Bilik Ibnu Sina, Pusat Islam. Kursus ini direka khusus untuk pemimpin dan pengikut dalam mempersiapkan diri ke arah pemikiran yang lebih positif terhadap perubahan dan memberi panduan yang tepat dalam mencapai budaya kerja yang cemerlang.
Kecenderungan pimpinan dan pengikut memahami aspirasi serta halatuju organisasi akan memudahkan pihak pengurusan merancang dan melaksana setiap bidang dalam organisasi masing masing. Individu yang cemerlang juga akan mencari peluang untuk meneroka bidang-bidang baru yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan diri dan organisasi. Kepimpinan dan kepengikutan adalah sama penting dan mesti diberikan perhatian yang sama. Pengikut merupakan golongan yang melaksanakan aktiviti yang telah dirancang oleh organisasi dan tanpa penglibatan mereka perancangan tidak akan dapat direalisasikan.
Kursus selama 2 hari ini telah dihadiri seramai 35 orang staf dari pelbagai Pusat Tanggungjawab dan telah disampaikan oleh Encik Zukernain Wook dari Innotech Excel Consulting. Para peserta amat berpuas hati dengan kursus ini kerana telah memberi satu anjakan paradigma yang sangat baik di samping menambah pengetahuan dan membuka minda untuk melahirkan sifat kepengikutan yang cemerlang dan meningkatkan kefahaman tentang kepentingan diri dan majikan. Pemimpin dan pengikut berperanan secara saling melengkapi dalam mencapai objektif yang ditetapkan selaras dengan visi, misi dan matlamat Universiti Putra Malaysia.
Transformasi Budaya Kerja Kepengikutan Cemerlang
Tarikh Input: | Kemaskini: 05/09/2019 | syazaliyana
Bangunan Canselori Putra,
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan