Usah Pandang Ringan Isu Depresi | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Usah pandang ringan isu depresi

Usah pandang ringan isu depresi

Pernahkah pada suatu ketika anda mengalami rasa sedih yang mendalam atau jiwa terasa ‘kosong’, kecewa dan putus asa, rasa letih dan tidak bertenaga, hilang selera makan dan berat badan turun secara mendadak? Selain itu, ada juga yang dibelenggu dengan perasaan mudah cemas atau panik, trauma, sukar tidur atau kerap terjaga dari tidur, suka menyendiri, menyalahkan diri sendiri, rasa diri tidak berguna serta hilang minat untuk melakukan apa-apa aktiviti fizikal. Kesemua simptom tersebut adalah berkaitan dengan masalah depresi atau kemurungan.

Depresi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau jantina. Ada individu yang mengalami masalah ini disebabkan ahli keluarga menghidap depresi, mangsa penderaan atau buli, kehilangan orang tersayang, atau mempunyai masalah kesihatan yang kronik. Selain itu, tekanan di tempat kerja, masalah keluarga, kehilangan pekerjaan dan masalah kewangan juga merupakan antara faktor pencetus kepada gejala depresi.

Isu depresi tidak sewajarnya dianggap sebagai perkara yang enteng. Stigma masyarakat yang memandang serong terhadap mereka yang mengalami depresi boleh memburukkan lagi situasi. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka yang menghidap depresi cenderung untuk melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan diri sendiri atau keluarga.

Media cetak dan media elektronik sejak akhir-akhir ini sering memaparkan kisah kesihatan mental yang semakin berleluasa dalam masyarakat. Kes bunuh diri, cubaan bunuh diri, penganiayaan atau penderaan secara mental atau fizikal, dan banyak lagi kisah menyayat hati dan mengejutkan berlaku di persekitaran kita.

Seseorang yang dibelenggu dengan masalah depresi disarankan untuk mendapatkan bantuan daripada mereka yang pakar, contohnya kaunselor, pakar psikiatri dan pakar psikologi. Apabila simptom depresi dapat dikesan lebih awal, hal ini mampu mencegah keadaan yang lebih teruk berlaku. Bantuan pakar membolehkan gejala ini ditangani dengan lebih baik dan efisien.

Sesi kaunseling oleh kaunselor dapat membantu menyelami dilema atau permasalahan yang dihadapi oleh klien mereka. Sedikit sebanyak sesi ini mampu mengurangkan beban dan meleraikan kekusutan yang ditanggung oleh individu berkenaan. Hanya mereka yang menghadapi depresi lebih merasai bebanannya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ada juga sesetengah kes yang memerlukan individu yang menghidap depresi dirujuk kepada pakar psikiatri. Tahap keseriusan depresi individu tersebut akan dinilai melalui pemeriksaan fizikal, ujian darah dan penilaian psikologi. Sekiranya rawatan susulan diperlukan, pakar psikiatri akan mempreskripsikan ubat yang perlu diambil. 

Pakar psikologi membantu merawat emosi dan tingkah laku individu yang mengalami depresi. Berdasarkan tahap depresi individu tersebut, pakar psikologi akan menjalankan sesi psikoterapi yang bersesuaian. Sesi terapi yang dilakukan ini secara beransur-ansur dapat membantu mereka mendepani gejala depresi.

Selain bantuan pakar, individu yang menghidap depresi juga perlu berusaha untuk mengatasi isu ini. Mereka disarankan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan beriadah, mengamalkan pemakanan yang sihat, memastikan waktu tidur yang cukup serta melaksanakan aktiviti baharu yang menyeronokkan. Dengan cara ini, mereka mampu memperbaiki kualiti hidup ke arah yang lebih baik dan bermakna.  

Isu depresi boleh diibaratkan seperti bom jangka yang lama-kelamaan boleh mencetuskan masalah yang lebih besar atau buruk. Sewajarnya kita sentiasa cakna dan prihatin terhadap orang di sekeliling kita yang menunjukkan gejala depresi. Menangani isu depresi adalah tanggungjawab kita bersama ke arah mewujudkan masyarakat yang sihat, sejahtera dan harmoni.

Oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 08/08/2022 | Kemaskini: 08/08/2022 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXDcVAA~