Semarak Budaya Membaca Melalui Read@Uni | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Semarak budaya membaca melalui Read@Uni

Semarak budaya membaca melalui Read@Uni

 

“The more that you read, the more things you will know, the more that you learn, the more places you’ll go.”(Dr. Seuss)

Peribahasa Melayu ada mengatakan “Membaca jambatan ilmu” yang bermaksud amalan membaca dapat membantu kita menambahkan ilmu pengetahuan. Seterusnya, ilmu pengetahuan yang diperoleh boleh menjana daya pemikiran yang kreatif dan mencetuskan idea yang bernas.

Melalui pembacaan buku dan pelbagai bahan bacaan seperti surat khabar, majalah, jurnal, dan banyak lagi juga dapat menghubungkan kita dengan dunia luar. Maklumat yang dijana melalui aktiviti pembacaan berupaya merangsang corak pemikiran dan meluaskan skop serta sudut pandangan kita berhubung sesuatu perkara. 

Pada era globalisasi ini, budaya membaca dalam masyarakat Malaysia masih pada tahap yang membimbangkan. Ironinya Malaysia menduduki tangga keenam sebagai negara yang aktif membeli buku dalam talian. Namun begitu, kajian oleh The World’s Most Literate Nation (Negara Paling Celik Huruf Sejagat) menunjukkan negara kita berada pada kedudukan ke-53.

Kajian oleh World Culture Score Index pada tahun 2021 mendapati bahawa rakyat negara ini membaca tidak lebih daripada tiga jam dalam seminggu. Senario ini begitu berbeza dengan rakyat di India yang memperuntukkan masa 10 jam 42 minit untuk aktiviti membaca dalam tempoh yang sama. Hal ini diikuti dengan rakyat Thailand dan China yang meluangkan masa membaca selama lapan hingga sembilan jam dalam seminggu.

Pelbagai program dianjurkan oleh kerajaan mahupun badan bukan kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan amalan membaca dalam kalangan rakyat negara ini. Program seperti kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030), Bulan Membaca Kebangsaan, Jom Baca Bersama untuk 10 Minit, Kempen Galakan Membaca, program NILAM di sekolah, pesta buku dan banyak lagi bermatlamat untuk menarik minat semua golongan tanpa mengira umur ke arah membudayakan amalan membaca.

Selain itu, Read@Uni merupakan salah satu inisiatif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2018 ke arah memperkasa budaya membaca dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi (IPT). Program ini dilaksanakan melalui perpustakaan di semua Universiti Awam dan institusi pengajian tinggi swasta sebagai menyokong aspirasi kerajaan untuk menyemai tabiat membaca dalam kalangan warga IPT, meningkatkan penyebaran maklumat dan perkongsian ilmu pengetahuan. Inisiatif Read@Uni ini menyasarkan peningkatan peratusan tabiat membaca terutamanya warga IPT menjelang 2030. 

Dalam konteks kita sebagai warga IPT, sewajarnya Read@Uni dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyemarakkan budaya membaca untuk memperkaya minda dan pengetahuan kita dalam pelbagai bidang. Kita seharusnya menjadi suri teladan kepada masyarakat dalam memupuk rasa cinta terhadap amalan membaca. 

Kesimpulannya, masyarakat yang membaca melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berfikiran kritis dan kreatif serta berpandangan jauh. Mereka berpotensi memacu pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan maju. 

“Reading is the gateway skill that makes all other learning possible.” (Barack Obama)

Oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 30/09/2022 | Kemaskini: 30/09/2022 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0397691527
0389472007
WWDcGAj:06:28