Memperkasa Modal Insan Melalui Kemahiran | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Memperkasa Modal Insan melalui Kemahiran

Memperkasa Modal Insan melalui Kemahiran

Dalam dunia pekerjaan pada zaman digital ini, kemahiran pekerja dari pelbagai aspek merupakan elemen yang penting dalam sesebuah organisasi. Seiring dengan kepesatan pembangunan negara dan Revolusi Industri 4.0, usaha memperkasa modal insan perlu diberikan penekanan yang utama oleh organisasi. Lebih-lebih lagi dalam situasi global pandemik COVID-19 ini yang memberi banyak kekangan kepada kesinambungan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan. 

Kompetensi pekerja menjadi kayu pengukur kepada kejayaan organisasi mencapai matlamat. Oleh itu, setiap pekerja berhak diberikan peluang untuk menyerlahkan potensi sebenar dalam diri mereka.  Mereka perlu dilengkapkan dengan kemahiran berkaitan bidang teknologi maklumat, komunikasi dan pengurusan sebagai nilai tambah kepada bidang tugas sedia ada. Dengan demikian mereka dapat meningkatkan prestasi diri serta menyuntik semangat untuk terus menimba ilmu bagi perkembangan dalam kerjaya mereka.  Bak kata pepatah Inggeris “Knowledge is power”. 

Pelbagai kursus ditawarkan oleh bahagian sumber manusia meliputi semua peringkat pekerja yang bertujuan untuk membentuk sahsiah pekerja yang cemerlang, berilmu dan cekap dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan. Bagi pekerja baharu, mereka perlu menguasai pelbagai kemahiran untuk memantapkan keupayaan mereka menangani sebarang cabaran dan rintangan semasa melaksanakan tugas. Manakala bagi pekerja yang berpengalaman atau yang akan bersara tidak bermakna bahawa mereka tidak perlu mengikuti sebarang kursus. Kursus kemahiran yang bersesuaian dapat membantu mempersiapkan diri mereka menghadapi alam persaraan.  

Pekerja berdepan dengan cabaran dalam transformasi cara bekerja selepas situasi pandemik Covid-19. Pelaksanaan mesyuarat dan perbincangan dalam organisasi dijalankan secara maya sebagai langkah pencegahan penularan virus berbahaya ini. Amalan norma baharu dengan arahan bekerja dari rumah menuntut mereka untuk memahirkan diri dalam penggunaan teknologi jalur lebar. Transformasi digital yang semakin meluas penggunaannya pada masa ini mendorong pekerja untuk mengintegrasikan cara kerja sedia ada dengan cara kerja yang baharu. Mereka perlu mengadaptasi diri dengan amalan norma baharu dalam dunia pekerjaan. 

Pekerja yang kompeten boleh memberi manfaat kepada organisasi dari pelbagai sudut. Pertama, kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dapat dipertingkatkan. Kedua, kemahiran yang dimiliki mereka juga boleh dikembangkan dengan melatih rakan sekerja lain. Kemahiran yang diperoleh boleh membuka minda dan memberi perspektif yang baharu kepada pekerja dalam membentuk keyakinan diri menghadapi cabaran.

“We have a hunger of the mind which asks for knowledge of all around us, and the more we gain, the more is our desire; the more we see, the more we are capable of seeing.”

(Maria Mitchell)

Oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 09/09/2021 | Kemaskini: 06/10/2021 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXDcXAc~