Literasi Kewangan Elak Isu Keterhutangan Serius | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Literasi kewangan elak isu keterhutangan serius

Literasi kewangan elak isu keterhutangan serius

Sejak akhir-akhir ini, isu keterhutangan dalam kalangan belia masa kini dilihat semakin parah dan sangat membimbangkan. Hal ini berikutan hasil Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia yang merekodkan 60% individu muflis di negara ini terdiri daripada golongan tersebut. 

Senario ini tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak termasuk majikan kerana jika dibiarkan lama-kelamaan gejala ini akan terus membarah dalam masyarakat. Perumpamaan Melayu “menjaga tepi kain orang” yang dianggap tidak elok dalam budaya Melayu tidak harus diamalkan dalam menangani isu ini. Sebaliknya semua pihak perlu cakna dan prihatin sekiranya ada kenalan atau kaum keluarga yang terjebak dengan isu sosial ini.

Menelusuri susur galur permasalahan keterhutangan dalam kalangan belia ini, antara faktor yang dikenal pasti ialah berkaitan dengan gaya hidup yang diamalkan. Golongan belia sering kali boros berbelanja untuk mendapatkan barangan berjenama tanpa memikirkan kemampuan diri untuk melunaskan bayaran. Situasi ini sama seperti peribahasa “Air mudik sungai, semua teluk diranai”.

Selain itu, pemilikan kad kredit yang mudah dimohon dan diperoleh juga menjadi faktor pendorong kepada gejala tidak sihat ini. Kad kredit dianggap sebagai trend popular masa kini yang menjadi salah satu alternatif terbaik untuk menggantikan penggunaan wang tunai. Tetapi jika salah penggunaannya akan memakan diri sendiri.  

Dalam konteks penjawat awam, isu keterhutangan boleh memberikan implikasi negatif kepada diri sendiri dan juga organisasi mereka ibarat “seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit”. Perkara tersebut bukanlah berkisar tentang isu individu sahaja tetapi turut melibatkan pihak lain termasuklah majikan dan rakan sekerja.

Berdasarkan Peraturan 13(7), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002) ungkapan ‘keterhutangan kewangan yang serius’ bermaksud keadaan keterhutangan seseorang pegawai yang setelah diambil kira amaun hutang yang ditanggung olehnya, telah menyebabkan kesusahan kewangan yang serius kepadanya. 

Justeru, adalah penting untuk seseorang individu mempersiapkan diri dengan literasi kewangan sebagai langkah pencegahan agar tidak terjerumus dalam kancah keterhutangan ini. Mereka perlu mengawal perbelanjaan dengan bijaksana dan berhemah serta mempunyai simpanan. Selain itu, mereka perlu sentiasa mengutamakan keperluan berbanding kehendak dalam membuat sebarang pembelian.

Elakkan terpengaruh dengan pelbagai promosi istimewa yang ditawarkan oleh bank untuk permohonan kad kredit. Peribahasa ada menyatakan” Air dalam, berenang air dangkal, bercebok”, yang bermaksud kita perlu menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan. Pertimbangan yang teliti perlu dibuat untuk mengelakkan sebarang masalah yang akan timbul di kemudian hari. 

Ibarat mengukur baju di badan sendiri, sentiasa berpesan pada diri supaya tidak sewenang-wenangnya berbelanja. Perancangan dan pengurusan kewangan yang efektif mampu menjana kehidupan yang sejahtera dan harmoni dalam jangka masa panjang. “Biar sakit dahulu senang kemudian”.

Disediakan oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 01/07/2022 | Kemaskini: 01/07/2022 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXEUOAp~