Adaptasi Norma Baharu Dalam Pekerjaan | PEJABAT PENDAFTAR
» ARTIKEL » Adaptasi Norma Baharu dalam Pekerjaan

Adaptasi Norma Baharu dalam Pekerjaan

Tarikh 1 Mei tiba lagi, tahun kedua Hari Pekerja disambut dalam situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia. Mengimbau setahun yang lalu, tiada lagi sambutan meriah dengan pelbagai program yang diatur sepertimana tahun-tahun sebelumnya kerana aktiviti sosial tidak dibenarkan termasuklah perhimpunan di peringkat kebangsaan. 

Di Malaysia, sambutan Hari Pekerja diraikan dengan sederhana berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dilaksanakan. Bertepatan dengan situasi semasa, tema pada tahun ini ialah “Pembudayaan Norma Baharu dalam Dunia Pekerjaan Sejagat.” Setelah setahun berlalu, pekerja semakin membiasakan diri dengan amalan norma baharu yang perlu dipraktikkan dalam pekerjaan mereka.

Dunia pekerjaan pada alaf baharu kini menyaksikan pelbagai transformasi dalam cara kerja, teknologi dan persekitaran tempat kerja. Jika dahulu banyak tugasan dilakukan di pejabat, namun kini rutin tersebut telah berubah seiring dengan situasi wabak yang berbahaya ini. Organisasi kerajaan dan swasta mula mengamalkan konsep Bekerja dari Rumah - BDR (Work from Home) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak lebih setahun lalu. 

Pelaksanaan konsep BDR ini bertujuan untuk meminimumkan jumlah kehadiran pekerja di pejabat, sekali gus dapat mengelak penularan jangkitan virus COVID-19 dalam komuniti. Penggiliran bertugas di pejabat disusun bagi memastikan kesinambungan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas. Ia boleh diibaratkan seperti serampang dua mata, melindungi keselamatan pekerja daripada wabak penyakit dan pada masa yang sama masyarakat masih dapat mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan. 

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan sempena Hari Pekerja 2021 pada 1 Mei 2021 telah menyatakan tiga strategi utama yang diambil oleh kerajaan dalam usaha meringankan beban warga pekerja yang berdepan dengan kesukaran disebabkan wabak COVID-19. Strategi pertama ialah mengekalkan pekerjaan, strategi kedua melindungi hak pekerja manakala strategi ketiga mencipta peluang pekerjaan.

Jika diimbas kembali setahun yang lalu, sewaktu PKP 1.0 dikenakan di seluruh negara pada 18 Mac hingga 3 Mei 2020, penutupan sektor ekonomi telah menyebabkan jumlah kerugian yang sangat besar kepada negara. Malah kehidupan rakyat turut terkesan apabila ramai yang kehilangan pekerjaan dan peniaga kecil terjejas pendapatan harian.  Bagi membantu rakyat yang terjejas, kerajaan telah mengumumkan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan untuk meringankan beban mereka.

Bagi penjawat awam pula, realitinya pelbagai cabaran dan kekangan terpaksa dihadapi oleh mereka dalam mengaplikasikan konsep BDR ini.  Tidak semua pekerja dapat mengadaptasi cara kerja norma yang baharu ini terutama mereka yang telah sebati dengan cara kerja lama. Natijahnya ramai yang terkesan dengan perubahan drastik ini dan mengalami tekanan emosi terutama pada permulaan PKP dilaksanakan.

Bekerja di rumah memerlukan persekitaran kerja yang kondusif dan tenang, ruang kerja dan fasiliti yang bersesuaian serta akses kepada capaian internet. Norma kerja baharu ini menuntut mereka untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif bagi mencipta suasana kerja sepertimana berada di pejabat. Mesyuarat, taklimat dan perbincangan pula diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, Webex, Google Meet dan sebagainya bagi melancarkan urusan kerja.

Kerajaan telah mengambil inisiatif mentransformasikan pendigitalan dalam sektor awam bagi memudahkan jentera pentadbiran awam terus berfungsi dengan cekap dan efisien. Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah mengeluarkan Arahan Bekerja dari Rumah sebagai garis panduan kepada majikan dan pekerja yang menjelaskan tatacara pelaksanaan BDR. Pihak majikan juga diseru supaya cakna dengan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja dan sentiasa memantau penghasilan kerja mereka.

Justeru, dengan pelbagai pendekatan yang diambil oleh kerajaan dan organisasi, pekerja tidak boleh lagi menjadikan alasan tidak dapat menjalankan tugas di rumah.  Mereka perlu sedar bahawa mereka tidak boleh lagi kekal di takuk lama malah berani mengorak langkah ke hadapan demi meningkatkan potensi diri dan kerjaya ke tahap yang lebih cemerlang. 

“Success means having the courage, the determination, and the will to become the person you believe you were meant to be.”

                                                                          George Sheehan

Oleh: Nor Azila Azmi

Tarikh Input: 09/09/2021 | Kemaskini: 06/10/2021 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PENDAFTAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691527
0389472007
SXDdUA3~