MENJADIKAN TEMPAT KERJA SELAMAT DAN SIHAT | REGISTRAR OFFICE
» ARTICLE » MENJADIKAN TEMPAT KERJA SELAMAT DAN SIHAT

MENJADIKAN TEMPAT KERJA SELAMAT DAN SIHAT

MENJADIKAN tempat kerja selamat, sihat dan bebas kemalangan dan penyakit adalah penting. Ia akan menyumbang kepada peningkatan tahap persekitaran kerja yang menjadi satu daripada komponen penting kepada kualiti hidup pekerjaan dan produktiviti organisasi.

Kedua-dua kesan positif ini seterusnya akan menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti hidup rakyat dan daya saing negara sejajar dengan matlamat dasar dan pelan transformasi negara.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia dipertanggungjawab bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di negara ini terjamin.

Bagi merealisasikan hasrat ini, jabatan turut bekerjasama dalam mencapai agenda Decent Work, Kementerian Sumber Manusia dengan mengurus dan mentadbir satu daripada enam teras strategik Kementerian Sumber Manusia iaitu Pelaksanaan Amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang Dinamik. Ini terangkul dan melalui penyusunan strategi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 (OSH MP 2020) yang dilancarkan pada Hari Pekerja 2016.

Negara berpendapatan tinggi

Setiap strategi dibangunkan dalam Pelan Induk ini adalah selaras dengan hala tuju kerajaan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, berteknologi mapan menjelang 2020. Matlamat Pelaksanaan Amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pula untuk mewujudkan budaya kerja selamat dan sihat di kalangan rakyat Malaysia dengan mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit berkaitan pekerjaan, menambahkan kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan meningkatkan amalan KKP di tempat kerja.

Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti negara. Persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan sihat akan menjadikan pekerja sihat, produktif dan berinovasi. Secara langsung, ini menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing organisasi.

Pekerja yang sihat, produktif dan berinovasi amat diperlukan oleh negara bagi mencapai matlamat dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Ke-11, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Oleh yang demikian, dapat dinyatakan bahawa pembentukan budaya pencegahan adalah satu daripada elemen penting kepada kesejahteraan pekerja, majikan, rakyat dan negara.

Pembangunan pesat negara turut mendorong jabatan untuk bertindak proaktif dan berpandangan jauh demi mencapai matlamat untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Demi mencapai matlamat ini, jabatan menjalankan dan menerbitkan kajian serta bahan rujukan dalam usaha mengenal pasti tahap pengalaman keselamatan dan kesihatan pekerjaan oleh majikan dan pekerja selain memanjangkan maklumat dan panduan kepada pihak terbabit.

Standard, kajian dan penerbitan yang disediakan oleh jabatan dapat membantu rakyat Malaysia untuk membuat rujukan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Hal ini membolehkan rakyat bersama mengenal pasti dan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, sama ada di tempat kerja atau di mana-mana sahaja.

Selain itu, JKKP juga menjalankan penguatkuasaan melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Pemeriksaan berkanun adalah antara aktiviti utama jabatan yang dijalankan pada setiap 15 bulan bagi menyemak tempoh sah Sijil Perakuan Kelayakan. Pemeriksaan bertujuan memastikan perundangan yang dikuatkuasakan dipatuhi bagi menjamin pengadaan persekitaran tempat kerja dan jentera yang selamat serta tiada risiko kesihatan ke atas pekerja.

Jabatan turut menjalankan penguatkuasaan terhadap Peraturan-Peraturan Timah Hitam, Proses Asbestos, Kendalian Bangunan dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan, Pendedahan Bunyi Bising dan Habuk Galian. Pematuhan kepada kehendak dalam Peraturan yang dikuatkuasakan ini diberi penekanan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja serta persekitaran tempat kerja adalah terkawal.

245,229 pemeriksaan

Secara tuntas, pada 2016 sahaja, 245,229 pemeriksaan dibuat meliputi aspek pemeriksaan ke atas jentera bersijil, kilang dan tapak Binaan. Ini adalah penguatkuasaan di bawah Akta Kilang Dan Jentera (AKJ) 1967. Bagi penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 dan lain-lain sektor di bawah AKKP, sejumlah 2,010 Penguatkuasaan bagi Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan (USECHH), 173 Penguatkuasaan bagi Pengelasan, Pembungkusan dan Pelabelan Bahan Kimia (CLASS) dan 11,075 bagi penguatkuasaan di tempat kerja.

Bagi tempat kerja yang tidak mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh JKKP, tindakan punitif diambil; meliputi 24,631 notis dikeluarkan dengan 1,176 kompaun dan 406 kes pendakwaan.

Justeru, pematuhan perundangan oleh majikan dan pekerja dapat menjamin persekitaran yang selamat dan sihat sama ada di tempat kerja, tempat awam, serta kawasan yang terdedah dengan kerja-kerja yang sedang dijalankan, sekali gus dapat mencapai objektif agenda negara dalam mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

 

Sumber : Berita Harian, 21 Mei 2017 l 12:54 PM

Date of Input: 20/07/2018 | Updated: 07/09/2018 | arizad

MEDIA SHARING

REGISTRAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471527
0389472007
C1545070752